Sabtu, 3 Mei 2014

Kebebasan akhbar: Ranking Malaysia jatuh merudum

LIM GUAN ENG


Kebebasan akhbar terancam bukan sahaja oleh tindakan rejim autoritarian menutup syarikat akhbar dan menahan pemberita, tetapi juga oleh pengamal media yang menyalahgunakan kuasa mereka dengan menyiarkan pembohongan dan enggan menghormati prinsip hak untuk menjawab.

Kebebasan akhbar adalah hak asasi manusia yang termaktub dalam Perkara 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, “Setiap orang berhak kepada kebebasan pendapat dan menzahirkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan mempertahankan pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan.”

Banyak negara dengan kebebasan akhbar tidak hanya menikmati hak asasi manusia, tetapi juga demokrasi yang berfungsi dan kemakmuran ekonomi.
Bukan suatu kebetulan apabila negara yang paling menghormati kebebasan akhbar adalah antara negara yang terkaya dan rakyatnya hidup dengan maruah.

Malaysia meraikan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia dengan suram berdasarkan Indeks  Kebebasan Akhbar Dunia 2014 yang diterbitkan oleh Reporters Without Border (RSF), di mana kedudukan Malaysia berada pada paras terendah dalam sejarah iaitu 147 daripada 180 buah negara.
Kedudukan Malaysia adalah dua anak tangga lebih rendah daripada junta tentera Myanmar. Pada tahun 2014, kedudukan Malaysia lebih buruk daripada Brunei (117), Thailand (130), Indonesia (130), Kemboja (132) dan Myanmar (145).

Laporan Kebebasan Media oleh The Freedom House bagi tahun 2013 juga mengkategorikan Malaysia sebagai “tidak bebas.” Dalam laporan itu, Malaysia juga menerima “downward trend arrow” akibat “penipuan pilihan raya berleluasa dan halangan struktural untuk menghalang pembangkang daripada berkuasa secara sah.”

Jelas sekali ini adalah masalah institusi di mana kerajaan sengaja menjerut kebebasan akhbar untuk mengelakkan sebarang pendedahan berkenaan penyalahgunaan kuasa dan rasuah melalui undang-undang zalim seperti Akta Hasutan, Akta Penerbitan & Mesin Cetak dan Akta Rahsia Rasmi.
Walau bagaimanapun, muslihat lain adalah untuk menghancurkan pembangkang dengan menyiarkan pembohongan tanpa rasa takut akan hukuman ataupun hanya semata-mata enggan memberikan mereka hak untuk menjawab.

Kebebasan akhbar terancam bukan sahaja dengan tindakan rejim autoritarian yang menutup surat khabar dan menahan pemberita, tetapi juga oleh pengamal media yang menyalahgunakan kuasa mereka dengan menyiarkan pembohongan dan enggan menghormati prinsip hak untuk menjawab.
Tidak mudah untuk berjuang memansuhkan undang-undang zalim sebagaimana sukarnya untuk membetulkan pembohongan dan menegakkan hak untuk menjawab.

Sementara tindakan saman fitnah diperlukan untuk membezakan pembohongan dari fakta, prasyarat kedaulatan undang-undang dan sistem kehakiman yang bebas adalah perlu bagi menghukum mereka yang memperdagangkan kepalsuan dan fitnah.

Tiada ulasan: