Ahad, 23 September 2012

Kerajaan Pulau Pinang angkat nama seniman agung P.Ramlee

roketkini.com



GEORGE TOWN : Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan agar Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dinamakan semula sebagai Lapangan Antarabangsa Pulau Pinang P. Ramlee bagi mengenangkan jasa seniman unggul ini.

Menurut Ketua Menterinya Lim Guan Eng, Pulau Pinang amat berbangga bahawa Allahyarham Tan Sri P. Ramlee adalah anak negeri yang dibesarkan dan belajar Pulau Pinang.

“Masih ada ramai yang tidak tahu P. Ramlee berasal dari Pulau Pinang. Masyarakat majmuk dan terbuka di Pulau Pinang ketika itu mungkin satu dari kriteria pembentukan bakat dan membolehkan P. Ramlee memacu potensinya sebagai seniman, pelakon, pemuzik dan penyanyi yang cemerlang dalam sejarah Malaysia.

“Memandangkan beliau dikenali umum di peringkat antarabangsa, adalah wajar nama beliau terukir di peringkat antarabangsa seperti di Lapangan Terbang yang berhubungkait dengan dunia.” Ujar Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

Pada masa yang sama, beliau turut mengetengahkan rasa kurang berpuas hati terhadap kerja-kerja membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa yang menelan belanja sebanyak RM250 juta berikutan banyak aduan masalah seperti kebocoron air hujan, kualiti kerja kurang baik dalam banyak aspek, kelambatan siap kerja dan pengurusan kerja yang mengganggu penumpang-penumpang.

Menurut beliau, banyak aduan diterima bukan sahaja daripada penumpang tetapi juga daripada pekerja-pekerja dalam lapangan terbang tersebut.

“Saya berharap pihak berkuasa Kerajaan Persekutuan boleh menjalankan semakan setiap minggu untuk mengenalpasti masalah yang timbul tersebut.

“Kita tidak mahu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang P. Ramlee ini akan menjadi suatu lapangan terbang bermasalah sebaik ia siap kelak.” Ujar beliau.-roketkini.com

Tiada ulasan: