Ahad, 15 Julai 2012

Yatt, Lidyawati kongsi rahsia

Wartawan Sinar Harian

Lydiawati
Lydiawati
 
Pelakon, Yatt Hamzah
Pelakon, Yatt Hamzah
 
 
KUANTAN - Pelakon terkenal Yatt Hamzah dan Lidyawati yang melakukan perubahan dengan berhijab beberapa bulan lalu berkongsi rahsia kekuatan mereka dengan peminat semasa Forum ‘Sharing Orang Muda’

Masih Ada Yang Sayang, sempena program Moh Santai Pantai Kempadang, di sini, malam semalam.

Forum yang dipengerusikan Imam Muda Nuri Ali Arbain itu turut menampilkan penceramah bebas, Ustaz Mohd Noor Fitri Ibrahim.

Pada forum itu, Yatt yang tampil manis berhijab berkata, selepas membuat keputusan memakai tudung, dia terpaksa berdepan dengan pelbagai kritikan daripada mereka yang tidak yakin dengan perubahan dilakukan.

Bagaimanapun katanya, dia sentiasa berdoa supaya usahanya diberkati dan berpanjangan.

“Kita nak berubah perlu kuat kerana banyak cabarannya. “Yatt perlu bijak memilih watak sesuai jika mendapat tawaran lakonan supaya prinsip Yatt dihormati,” katanya.

Yatt berkata, bagi memastikan perubahan dirinya itu berterusan, dia sentiasa mengikuti kelas agama bersama rakan artis yang lain.

Perkara sama turut diakui pelakon Lidyawati, apabila terpaksa berhadapan cabaran yang kuat selepas dia mengambil keputusan berhijab.

“Ramai yang mencemuh saya malah ada yang menuduh saya hanya berlakon. Mereka boleh labelkan saya apa sahaja, yang penting perubahan ini adalah datang dari hati saya dan ia adalah hidayah daripada ALLAH.

“Saya bersyukur dan tidak mahu memikirkan apa yang orang cakap mengenai perubahan saya,” katanya.

Sementara itu, Ustaz Mohd Noor Fitri berkata, perubahan dilakukan Yatt dan Lidyawati sangat baik, dan semakin ramai artis buat keputusan berhijab.

Katanya, golongan selebriti berdepan cabaran berbeza kerana mereka menjadi tumpuan ramai.

Tiada ulasan: