Isnin, 23 Julai 2012

UMNO KG NONGKOLUD SERTAI PKR

SABAH KINI




BENDERA..... Ketua Cabang PKR Tuaran, Haji Ansari (berkopiah) sedang menyerahkan bandera PKR kepada Derasin Shim (Tengah).

Oleh : KREW SABAHKINI.NET

TUARAN : Bekas Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tuaran, Derasin Shim yang juga Ketua Cawangan parti tersebut Kampung Nongkolud, Tuaran bersama dengan ahli-ahli cawangannya, telah meninggalkan UMNO dan mengisytiharkan penyertaan mereka dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Derasin yang juga pernah menjadi Setiausaha Biro Penerangan UMNO Tuaran menyerahkan borang penyertaan PKR kepada Ketua Cabangnya di Tuaran, Haji Ansari Abdullah semasa Majlis Penyertaan yang diadakan di kediaman Derasin di Kampung Nongkolud, Tuaran baru-baru ini.
 
"Tindakan ini kami lakukan kerana yakin Pakatan Rakyat (PR) yang didokong oleh PKR akan membawa perubahan terhadap senario politik negara dan kami yakin PR akan mendapat sokongan rakyat pelbagai kaum di negara ini," kata Derasin.

Beliau yang pernah menjadi Jurukira Kewangan UMNO Bahagian Tuaran dengan titisan air matanya merasa yakin akan lebih ramai lagi ahli-ahli UMNO di kampungnya yang akan meninggalkan parti yang telah disertainya selama 21 tahun. Tindakan itu diambil kata Derasin kerana mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan UMNO di Tuaran.

"Saya percaya penghijrahan ini akan menyemarakkan lagi semangat waja petugas-petugas PKR ke arah menjadikan harapan rakyat mendapatkan kerajaan baharu selepas Pilihanraya Umum Ke 13 tidak lama lagi. Setelah menyedari pimpinan UMNO gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, maka kami tiada pilihan selain meninggalkan parti itu untuk menyertai PKR," kata Derasin lagi.

Sejurus meletakan jawatannya sebagai Ketua Cawangan Kampung Nongkolud Tuaran, Derasin besama ahli-ahlinya serta keluarga menyerahkan borang penyertaan menjadi ahli PKR Cabang Tuaran kepada Haji Ansari sambil disaksikan oleh Bekas Setiausaha Sulit Menteri Kerajaan Tempaan dan Perumahan Negeri, Mohd Fairuz Bandar dan Bekas Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tuaran, Haji Amin Ibrahim.

Sementara itu Ketua Cabang PKR Tuaran, Haji Ansari Abdullah dalam ucapanya berkata, fenomena penghijrahan ahli-ahli dan penyokong UMNO ini menjadi suatu petanda yang baik bahawa rakyat akan memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR) menjelang Pilihan raya Umum ke 13 (PRU KE 13) tidak lama lagi.

"Pada kebelakangan ini ramai di kalangan penyokong UMNO di Tuaran yang telah menyertai PKR dari pelbagai peringkat termasuk mereka yang pernah berkhidmat dengan pemimpin kerajaan dan memegang jawatan penting dalam politik.

"Ketika pimpinan UMNO bahagian membuat pelbagai program untuk memberi keyakinan kepada rakyat, lain pula terjadi kepada ahli-ahlinya yang keluar meninggalkan UMNO termasuklah Bekas Setiausaha Sulit Menteri Kerajaan Tempatan Sabah yang juga Bekas Ketua Cawangan UMNO Nulu Tuaran, Mohd Fairuz Bandar dan Bekas Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tuaran, Haji Amin Ibrahim," kata Haji Ansari.

Terdahulu dari ini Bekas Naib Ketua Parti Bersatu Sabah (PBS) Kawasan Sulaman, Dominic Ombilod Onul dan Ketua Pergerakan Pemuda PBS Sulaman, Ahling Kabaron telah mengisytiharkan penyertaan dalam PKR semasa Majlis Rapat Rakyat di Tenghilan yang dihadiri oleh Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Haji Ansari juga turut mengingatkan semua petugas PKR di Tuaran agar memperkemaskan jentera parti di semua peringkat dan melipatgandakan gerak kerja bagi menjamin kemenangan Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU ke 13 tidak lama lagi.

Tiada ulasan: