Isnin, 9 Julai 2012

Tumpu pilihan raya, usah layan Hasan Ali

Saidah Hairan,
SHAH ALAM: PAS Selangor meminta ahlinya supaya menumpukan usaha menghadapi pilihan raya umum daripada melayan karenah Datuk Dr Hasan Mohamad Ali yang telah terpinggir.

Tindakan Dr. Hasan mengadakan cerita kononnya akan diadakan debat di antara beliau dengan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman pada 11 Julai akan datang jelas menunjukkan gerakan Jati semakin hilang pedoman.

Kini Hasan Ali mahu mencari populariti melalui PAS.

Setiausaha PAS Selangor, Mohamad Khairuddin Othman (gambar) berkata PAS Selangor telah bersetuju agar Pesuruhjaya Selangor serta ahlinya tidak melayan karenah Hasan Ali.

"Tumpuan kita untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa. Mengapa Dr Hasan Ali mahu berdebat dengan kita? Jati bukan parti politik. Bukankah masalah yang ada di Selangor ini adalah masalah yang ditimbulkan dan ditinggalkan oleh beliau?" soal beliau dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah Khairuddin, Hassan telah meninggalkan masalah sewaktu diamanahkan menjadi Pesuruhjaya PAS Selangor dulu ketika mempunyai ruang sebesar-besarnya untuk berjuang.

Tegas Khairuddin lagi, prestasi PAS Selangor sekarang jauh lebih baik dari zaman Dr Hasan menjadi pesuruhjaya.

Sehubungan itu, PAS Selangor bersama-sama dengan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) memutuskan bersama agar tidak melayan karenah bekas exco kerajaan negeri itu kerana beliau pernah diberi peluang untuk berjuang dalam pasukan kerajaan tetapi gagal.

Tiada ulasan: