Rabu, 18 Julai 2012

Transformasi Najib hanya tukar jenama saja

MALAYSIA CHRONICLE



KUALA LUMPUR: Program Transformasi Politik (PTP) yang dibanggakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanyalah program tukar jenama sahaja, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Ia tak ubah seperti wain yang lama juga tetapi di dalam botol yang baru," kata beliau ketika menyokong pandangan yang menyifatkan Akta Keharmonian Nasional sebenarnya adalah akta yang mempunyai nama yang salah.

Pandangan tersebut menyifatkan akta tersebut tidak memupuk keharmonian sebaliknya akan menyebabkan suasana tidak harmoni.

Lantaran itulah, menurut pandangan tersebut, nama Akta Keharmonian Nasional tidak sesuai dengan akta yang menggantikan Akta Hasutan 1948 itu.

"Tujuannya masih sama. Malah ia memberikan lebih banyak kuasa kepada kerajaan untuk menindas hak rakyat untuk bersuara.

"Semua program transformasi Najib tak ubah seperti orang yang tukar kopi tongkat ali kepada kopi tunjuk langit. Tujuannya sama, nak 'power' yang lebih dari yang sepatutnya," kata Mahfuz.

Beliau menyifatkan sifat atau ciri utama Akta Keharmonian Nasional itu masih sama dengan Akta Hasutan 1948 iaitu menafikan keadilan untuk rakyat.

"Begitulah juga program transformasi Najib yang lain, ia sama ada tidak adil atau menafikan keadilan untuk rakyat.

"Semua itu tidak bertujuan untuk memberikan keadilan kepada rakyat tetapi semata-mata untuk mengukuhkan kuasa Najib atau untuk publisiti murahan kepadanya," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Najib, kata Mahfuz, sepatutnya merasa malu kerana semua program transformasinya tidak diterima oleh mereka yang boleh berfikir dengan baik.

"Bukan sahaja tidak diterima, malah Najib dianggap sebagai demokrat palsu (false democrat) oleh akhbar luar negara," katanya.

Baru-baru ini, akhbar Kanada, menyifatkan Najib sebagai 'false democrat'.

Najib diletakkan pada kategori pertama sebaris dengan Najib Presiden Russia, Vladimir Putin; Presiden Palestin Mahmoud Abbas; Presiden Algerian, Abdelaziz Bouteflika; Perdana Menteri Ethiopiam, Meles Zenawi dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

Antara yang sebelum ini digelar 'false democrat' ialah Presiden Yogoslavia, Slobodan Milosevic dan Presiden Mesir, Hosni Mubarak.-harakahdaily

Tiada ulasan: