Isnin, 2 Julai 2012

Tahanan ISA didera, isteri mangsa ditipu polis

Aedi Asri


KUALA LUMPUR: Nunur Heni Onim, isteri kepada seorang tahanan ISA Razali Kassan kesal kerana suaminya dibelasah pegawai Kem Kamunting walaupun beliau tidak mengadu kepada mana-mana pihak luar.



Sambil menangis teresak-esak, ibu kepada dua anak itu berkata,  polis yang hanya dikenali sebagai Tuan Ayub memberi jaminan keselamatan suaminya jika beliau tidak menghubungi peguam, media atau badan bukan kerajaan (NGO).

“Saya terperanjat bila dengar cerita sebenar  suami yang dia dibelasah (ketika melawatnya) semalam.

Suami beritahu saya, pegawai kem memukulnya kerana marah lantaran  mereka mengadakan mogok lapar.  Saya tak dapat bayangkan bagaimana keadaannya dibelasah berkali-kali selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada penyerahan memorandum Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Jalan Raja Laut pagi tadi.

Beliau berkata, keadaan suaminya lemah dan pucat ketika melawatnya semalam.

“Tuan Ayub juga pernah kata, tahanan sentiasa dijaga baik dan kezaliman ISA hanyalah cerita pembangkang,” katanya yang menyara hidup dengan mengambil upah menjahit.



Nunur Heni berasal dari Jawa Barat, Indonesia dan berhijrah ke sini selepas mengahwini Razali enam tahun lalu dan menetap bersama ibu Razali di Felda Ulu Tebrau, Johor.

Turut hadir ialah peguam dari Lawyers for Liberty (LFL), Muhammad Afiq Noor dan Mohd Harris Idaham, Ahli Jawatankuasa GMI, Aliza Jaafar.

Memorandum tuntutan diserahkan wakil GMI, Ahmad Syukri Abdul Razab kepada Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha’ani pada jam 12.07 tengah hari.

Antara tuntutan ialah menuntut Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mengambil tindakan terhadap tahanan yang menyertai mogok lapar dan jaminan tidak menghalang peguam, doktor dan keluarga berjumpa dengan tahanan.

Tiada ulasan: