Isnin, 23 Julai 2012

Suspek mangsa bunuh Ketua Wanita Umno ditahan

SINAR HARIAN

Tragedi Ramadan, hajat warga emas pakai gelang tak kesampaian
Sebahagian ahli keluarga berkumpul di pekarangan bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah. Gambar kecil Halimah Yunus.
 
 
ALOR SETAR - Seorang lelaki telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan bekas Ketua Wanita Umno cawangan Kampung Bukit Hangus, Jeneri, Sik pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di sebuah rumah di kampung berkenaan kira-kira 3.30 pagi semalam.

Polis turut merampas baju serta seluar suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan, katanya.

Ahmad berkata bagaimanapun pihaknya masih belum menemui senjata yang dipercayai digunakan untuk membunuh Halimah Yunus, 66.

Katanya suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian kira-kira 9.20 malam itu, mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah selepas rumahnya dipecah masuk melalui pintu belakang.

Dia meninggal dalam perjalanan ke hospital. - Bernama

Tiada ulasan: