Tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang masih berada di kem tahanan Kamunting akan hanya mengetahui nasib mereka selepas kebolehan polis menjaga keselamatan awam diperkukuhkan apabila undang-undang baru berkuat kuasa.

"Saya mahu mengingatkan orang ramai bahawa pembebasan tahanan ISA menjadi tumpuan utama di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan ia merupakan proses yang berterusan.

"Justeru apa yang tinggal kini merupakan saki-baki daripada perkara yang kita mahu laksanakan.

"Tetapi saya mahu undang-undang baru dan pembinaan keupayaan polis diperkukuhkan luar dan dalam agar orang ramai tidak terancam atau menghadapi risiko apabila undang-undang baru (menggantikan ISA) berkuat kuasa kelak," katanya.

Beliau bagaimana pun tidak menetapkan tarikh baki tahanan tersebut akan dibebaskan dan menjelaskan satu pengumuman akan dibuat berkenaan perkara itu nanti.

"Saya sedang mengkaji status tahanan-tahanan dan saya percaya satu pengumuman akan dibuat tentang status mereka nanti," katanya.

Sehingga kini masih terdapat 45 tahanan ISA yang masih lagi dipenjarakan walaupun ISA sudah dimansuhkan.

Ini kerana Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang digazet pada 22 Jun lalu menggantikan ISA membenarkan baki tahanan menghabiskan tempoh tahanan yang ditetapkan menteri dalam negeri.

Mengulas dakwaan bahawa hanya sebahagian kecil polis ditugaskan untuk menyelesaikan jenayah, Hishamuddin menegaskan bahawa polis yang menjalankan tugas-tugas lain juga sebahagian daripada tugas-tugas polis.

"Ia tidak benar. Menjalankan tugas-tugas lain bermakna tugas-tugas polis yang lain, itu saya percaya. Kita ada 120,000 polis dan mereka inilah yang menjaga keselamatan wanita, kanak-kanak, ragut, pecah rumah dan pengganas dan tentunya ia masih tidak mencukupi," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas tentang filem Tanda Putera yang akan ditayang dan memaparkan peristiwa berdarah 13 Mei, Hishammuddin berkata beliau masih belum menontonnya dan akan mengulas kemudian.