Rabu, 11 Julai 2012

SPR belum terima jawapan pemerhati luar negara untuk PRU13

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum menerima sebarang maklum balas daripada beberapa buah negara luar yang dilantik untuk menjadi pemerhati antarabangsa bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata SPR telah menjemput beberapa negara luar untuk menjadi pemerhati antarabangsa semasa proses PRU-13 antaranya Indonesia, Thailand dan beberapa negara lain.

"SPR juga sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa buah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk bergabung menjadi satu pasukan pemerhati dalam negeri pada PRU nanti.

"Makluman itu memudahkan mereka sebagai satu pasukan dan menjadi pemerhati di 222 buah kawasan parlimen seluruh negara jika inisiatif ini menjadi satu kenyataan," katanya semasa menjawab soalan Senator Muhamad Yusof Husin di Persidangan Dewan Negara hari ini.

Muhamad Yusof ingin tahu adakah kerajaan bercadang menerima pemerhati luar negara semasa Pilihan Raya Umum ke-13.

Liew berkata selepas proses pilihan raya selesai pemerhati yang dilantik akan membuat laporan dan diserahkan kepada SPR.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Muhamad Yusof, beliau berkata terdapat ramai pegawai yang akan bertugas semasa PRU yang dilantik oleh SPR dan mereka akan diberi latihan dan kursus tentang peraturan dan undang-undang semasa proses pilihan raya berlangsung.- Bernama

Tiada ulasan: