Sabtu, 21 Julai 2012

Sokongan bukan Melayu meningkat kepada PR, bukan BN

Wartawan Sinar Harian

Sokongan bukan Melayu meningkat kepada PR, bukan BN
HANAFIAH
 
 
KUALA TERENGGANU – Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Terengganu, Hanafiah Mat menganggap kenyataan pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) bahawa sokongan masyarakat bukan Melayu meningkat adalah helah untuk menyedapkan hati rakyat.

Beliau menjelaskan, tidak berlaku perkara seumpamanya ketika ini, sebaliknya sokongan masyarakat tersebut semakin bertambah kepada pembangkang sebaik sahaja tsunami politik pada pilihan raya umum lepas.

Hanafiah berkata, sokongan itu tidak pernah menurun kerana adanya kebangkitan untuk mengubah kerajaan sedia ada.

“Skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang dikaitkan dengan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik juga memberi kesan yang besar. Selain itu, kebanyakan masyarakat bukan Melayu yang ditemui turut menganggap Umno sebagai parti perkauman,” katanya.

Beliau mendakwa, melalui perjumpaan dengan beberapa masyarakat bukan Melayu, kebanyakannya mempamerkan rasa bosan terhadap Umno serta muak dengan krisis dalaman yang melanda MCA.

Mengulas lanjut, beliau yang baru selesai mengadakan lawatan turun padang bersama Badan Perhubungan Pas Terengganu di beberapa tempat di Sarawak beberapa hari lalu turut terkejut dengan sambutan yang diterima masyarakat di kawasan itu.

Hanafiah berkata, penduduk di rumah panjang turut menerima kunjungan pihaknya dengan terbuka, tidak sebagaimana sebelumnya, di samping memperlihatkan kesediaan mereka menukar kerajaan sedia ada.

Katanya, penduduk rumah panjang juga turut melahirkan rasa kesal kerana tiada apa-apa perubahan walaupun telah ditadbir selama lebih 50 tahun oleh Barisan Nasional (BN).

“Kira-kira 70 peratus rumah panjang yang perjalanannya boleh dilalui dengan kereta serta jalan air menunjukkan pendirian untuk melakukan perubahan kerana kecewa dengan isu rasuah, penyelewengan dan ketirisan yang berlaku.

“Mereka mendapat maklumat mengenai perkara yang berlaku daripada anak-anak yang sudah berhijrah ke bandar dan pandai menggunakan teknologi maklumat. Kita juga turut mendapati ketua rumah panjang atau tuai rumah turut memberi sokongan serupa.

“Begitu juga dengan kaum Cina yang ditemui di Kuching, kira-kira 90 peratus menyatakan sokongan amat kental terhadap Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Beliau turut memberitahu, keadaan itu bukan hanya berlaku di Sarawak sahaja, malah lebih ketara di Semenanjung Malaysia termasuk di kawasan Pantai Timur yang menyatakan kesediaan yang sama untuk berubah.

Tiada ulasan: