Khamis, 12 Julai 2012

Skim Insurans Bantu Pekerja Berpendapatan Rendah





SHAH ALAM : Kerajaan Negeri Selangor sedang mempertimbangkan cadangan untuk melaksanakan skim insurans bagi membantu pekerja berpendapatan rendah dan tidak mempunyai pendapatan tambahan melalui kerja lebih masa.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pelaksanaan skim itu disifatkan lebih relevan dan dapat meringankan beban pekerja untuk menampung kos sara hidup yang semakin tinggi.

Menurutnya, Kerajaan Negeri telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pegawai kewangan negeri sejak tahun 2009 untuk mengatasi masalah tersebut.

“Kumpulan wang insurans (skim) ini lebih sesuai jika dibandingkan dengan cadangan penubuhan tabung pembangunan pekerja yang akan memerlukan dana lebih tinggi untuk dilaksanakan. Peruntukan itu akan dilaksanakan secara menyeluruh untuk kebaikan pekerja,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian sewaktu menjawab pertanyaan Dr Nasir Hashim (PKR-Kota Damansara) berhubung tindakan Kerajaan Negeri untuk membantu pekerja berpendapatan rendah.

Sementara itu, ketika menjawab soalan berhubung pelaksanaan gaji minima, Abdul Khalid menjelaskan ia perlu dibuat secara menyeluruh baik di peringkat negeri mahupun persekutuan.

Beliau berkata, kerajaan pusat perlu mengambil tindakan segera bagi pelaksanaan perkara tersebut supaya jurang pendapatan antara pekerja di negara ini dpaat dikurangkan.

“Walaupun Selangor membuat inisiatif supaya menggerakkan usaha peningkatkan pendapatan, tetapi ia perlu dibuat secara menyeluruh. Perkara itu mesti sentiasa dikemukakan kepada kerajaan pusat untuk dilaksanakan,” ujarnya.

Tiada ulasan: