Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Lajim Ukin yang menyatakan kesediaan untuk dipecat dari parti.

Mohd Shafie juga berkata, tindakan pemimpin meninggalkan parti juga menjadi lumrah bagi sesebuah parti politik seperti Umno.

"Saya tak mahu buat spekulasi. Ramai sangat yang membuat spekulasi mengenai dia (Lajim). Bagi kita, perkara seumpama ini lumrah dalam gelanggang politik. Kita semua pernah melalui proses ini termasuk Umno.

"(Sebelum ini) Timbalan (presiden) Umno sendiri pun pernah keluar (parti) malahan presiden satu ketika dahulu pun keluar. Jadi ia tidak ada apa-apa kepada kita sebagai sebuah parti politik," kata Shafie pada sidang media selepas merasmikan program bubur lambuk 1Malaysia Amal Media 2012 di Bangsar hari ini.

Katanya lagi, tindakan seseorang keluar daripada parti bukan sesuatu perkara yang boleh memberi kesan memudaratkan pada parti. Malah, katanya, apa jua keadaan yang dihadapi akan diatasi Umno.
Beliau juga mendakwa, Lajim telah menafikan akan menyertai parti pembangkang.

"Kesannya mungkin ada, besar kecilnya satu perkara. Tapi saya yakin ini satu spekulasi. Dah banyak sangat. Bulan lalulah, tahun lalulah.

"Benda-benda ini tak tahu benar ke tidak. Dia pun dah nafikan. Kalau orang dah nafi takkan tak percaya.

"Saya rasa apa yang penting untuk dia ialah, buat kerja dia sebagai ahli parlimen laksanakan tugas dan tanggungjawab," katanya lagi.

Jun lalu, Lajim meletak jawatan sebagai ketua Umno cawangan Kerambai Kebatu selepas beliau dikatakan tidak akan mempertahankan jawatan sebagai ketua Umno bahagian Beaufort.

Menurut Sabah Times, perkara itu diumumkan Lajim pada hari Sabtu lalu ketika satu majlis sambutan harijadinya yang ke-57.