Rabu, 25 Julai 2012

Semak laporan polis secara online

Wartawan Sinar Harian

Semak laporan polis secara online
Pengunjung mengisi borang maklum balas secara online ketika melawat pameran sempena pembukaan program GTP Roadmap 2.0, semalam.
 
 
KUALA LUMPUR - Pengguna akan berpeluang menyemak status laporan polis yang dibuat melalui Sistem Semakan Online (SSO) bagi memudahkan mereka berurusan dengan pegawai penyiasat.
Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala berkata, inisiatif itu dilakukan menerusi penyelidikan makmal jenayah di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 yang dijalankan selama enam minggu bermula April hingga Mei lalu.

Menurutnya, SSO termasuk di dalam inisiatif MyDistress yang mana ia memberi peluang kepada orang awam menyemak status laporan polis secara telus, melakukan pembersihan terhadap kawasan dikenal pasti sering berlaku jenayah, meluaskan Program Omnipresence (kehadiran polis) dan meletakkan kumpulan sukarelawan di seluruh negara bagi membendung jenayah pecah rumah.

“Kami telah mengkaji pendekatan secara holistik, misalnya dalam mengurangkan kadar jenayah dan meyakinkan golongan tegar bahawa usaha transformasi hakikatnya telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang utuh menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Ini termasuk menambah keyakinan orang awam, mengurangkan peluang berlakunya jenayah, serta ia sebagai langkah untuk pengesanan, penahanan dan pendakwaan terhadap jenayah dan penjenayah,” katanya pada pembukaan program GTP Roadmap 2.0 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), semalam.

Sementara itu, Penolong Pengarah Pengurusan (Hal Ehwal Awam), Asisten Komisioner Fatimah Abd Hamid berkata, SSO itu ditubuhkan berdasarkan maklum balas awam yang sering berhadapan kesulitan berhubung dengan pegawai penyiasat, sistem manual yang memakan masa dan kemusykilan berhubung prosedur untuk mendapatkan maklum balas berhubung laporan polis.

“Kesemua elemen itu menghilangkan keyakinan mereka terhadap polis untuk menyelesaikan kes yang mereka hadapi, meningkatkan rasa tekanan terhadap sistem komunikasi dan menimbulkan persepsi negatif terhadap operasi yang dijalankan oleh agensi penguatkuasa.

“Menerusi SSO yang terdapat di laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM), orang awam boleh mendapatkan maklumat termasuk nombor telefon pegawai penyiasat yang ditugaskan untuk kes mereka, status siasatan dan maklum balas pengguna,” katanya pada sesi penerangan makmal jenayah GTP 2.0 yang dijalankan pada 23 April hingga 31 Mei lalu.

Program GTP Roadmap 2.0 dijalankan bermula jam 9 pagi hingga 4 petang semalam bagi mendapat maklum balas daripada rakyat negara ini berhubung inisiatif terhadap pelbagai program transformasi yang dijalankan Pemandu yang mana memperoleh pencapaian begitu memberangsangkan pada 2010 dan 2011.

Tahun ini menandakan berakhirnya fasa pertama GTP dan akan melangkah ke fasa kedua iaitu bermula pada 2013 hingga 2015 dengan membawa perubahan yang lebih meluas.

Tiada ulasan: