Khamis, 19 Julai 2012

RM300,000 Bantu Nelayan Kuala Selangor





KUALA SELANGOR : Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan kewangan dan pelbagai peralatan bernilai kira-kira RM300,000 kepada nelayan di Kuala Selangor Ahad lalu demi menjaga kebajikan golongan tersebut.

Penyerahan bantuan kepada nelayan ini disampaikan oleh Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari kepada 40 nelayan dalam bentuk kewangan serta peralatan antaranya enjin bot berkuasa kuda, pukat dan jaring bernilai RM300,000 bagi meringankan bebanan mereka.

Menurutnya, bantuan ini menunjukkan Kerajaan Negeri memandang berat akan masalah dihadapi golongan nelayan yang memerlukan sokongan dan bantuan.

“Kerajaan Negeri prihatin tentang masalah rakyat. Kerana itu hasil bumi kita pulangkan semula kepada rakyat. Kerajaan Negeri hanya membuka pintu kepada anda semua, hasilnya dari Allah Taala yang memberi anugerah kepada kita,” katanya dalam Program Penyerahan Peralatan Nelayan Daerah Kuala Selangor di Dewan Orang Ramai Kampung Assam Jawa, Kuala Selangor di sini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Yaakob juga menggesa semua pihak agak mensyukuri nikmat yang dianugerahkan Allah.

“Di lautan, siapa ternak ikan? Siapa beri ikan makan? Ini semua urusan Allah Taala. Sebab itu, nelayan yang mendapat tangkapan ikan yang banyak, harus juga mengeluarkan zakat yang banyak sebagai tanda bersyukur,” ujarnya.

Tiada ulasan: