Ahad, 1 Julai 2012

RM1.17 juta dalam empat mesin ATM lesap

THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR— Wang tunai berjumlah RM1.17 juta di dalam empat mesin juruwang automatik (ATM) di aras 1 pasar raya Carrefour, Wangsa Maju di sini, dilarikan penjenayah awal hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Othman Abu Bakar berkata kejadian disedari seorang pengawal keselamatan pada pukul 7 pagi semasa membuat rondaan dan mendapati kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan mesin ATM itu telah dialihkan.

Melihat kesan tebukan pada keempat-empat mesin ATM berkenaan, pengawal keselamatan itu bertindak melaporkan kepada polis.

Othman berkata berdasarkan siasatan awal rakaman CCTV, kejadian pada pukul 3.06 pagi itu dilakukan sekumpulan penjenayah yang memakai topeng muka dan menggunakan alat pencair besi (oxy-gas) bagi menebuk keempat-empat mesin ATM itu.

"Kami percaya ia dilakukan sekumpulan penjenayah yang cukup profesional dan perancangan mereka amat rapi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Othman berkata polis kini memburu kumpulan penjenayah terbabit berdasarkan rakaman CCTV di tempat kejadian.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat segera menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. — Bernama

Tiada ulasan: