Isnin, 2 Julai 2012

Rakyat Selangor Sudah Boleh Mohon Skim Bantuan Tadika

321 views


SHAH ALAM: Ibubapa di Selangor yang berpendapatan rendah kini boleh memohon untuk bantuan menghantar anak mereka ke tadika melalui Skim TUNAS di syarikat Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB) di Tingkat G, Bangunan Darul Ehsan, Jalan Indah, Seksyen 14, Shah Alam.

RMSB yang merupakan anak syarikat milik Kerajaan Negeri bertanggungjawab menguruskan semua skim-skim dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor boleh dihubungi di talian 03-5510 3468 dan 03-5510 3472.

Selain itu, borang permohonan skim TUNAS atau Bantuan Tadika Selangor boleh didapati dari pejabat-pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN dalam jangkamasa terdekat ini.

Demikian menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali, ketika pelancaran rasmi skim terbaru ini di sini semalam.

Skim TUNAS yang dilancarkan di Shah Alam Convention Centre diwujudkan sebagai subsidi pendidikan bagi meringankan bebanan keluarga yang berpendapatan kurang RM1,500 sebulan.

“Bagaimanapun bantuan skim ini tidak melibatkan bayaran tunai kepada penerima sebaliknya ia akan dibayar terus kepada sekolah tadika terlibat,” ujar Dr Halimah.

Dr Halimah menjelaskan, sekolah tadika itu pula hendaklah berdaftar dengan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor (MPTS), sebuah badan bertindak mengawal selia piawaian sekolah-sekolah tadika seluruh Selangor.

“Kerajaan negeri juga buka kepada Tadika Perpaduan dan Kemas, tetapi mereka enggan daftar untuk sertai program ini.

“Jadi, yang ada pihak kata kami tak telus dan sebagainya itu tak betul. Sebenarnya mereka sendiri yang enggan kerana berfikiran politik sempit.

“Akhirnya ibu bapa yang anaknya bersekolah di Kemas dan Perpaduan jadi mangsa, tidak dapat menikmati skim ini,” katanya  lagi.

Menurut Dr Halimah, skim tersebut mendapat peruntukan sebanyak RM1.016 juta dari Geran Selangorku bagi tahun 2012.

“Bagi tahun hadapan, peruntukan untuk Skim Tunas diteruskan dan dimasukan di dalam belanjawan berimbang 2013 nanti,” kata Dr Halimah ketika berucap di hadapan kira-kira 500 hadirin di majlis pelancaran skim tersebut.

Satu ‘road show’ juga akan diadakan dalam jangkamasa terdekat bagi menerangkan skim ini kepada rakyat Selangor bermula di kawasan DUN yang mengandungi paling banyak keluarga berada di bawah paras kemiskinan.

‘Road show’ itu juga akan memaparkan tadika-tadika yang telah menyertai skim ini.

Skim yang julung-julung kali diperkenalkan itu telah menerima reaksi positif dari para ibu bapa yang sempat ditemui TVSelangor.

“Semenjak kerajaan baru ini, bermacam skim untuk rakyat diperkenalkan, termasuklah terbaru hari ini. Skim Tunas untuk ringankan beban rakyat berpendapatan kurang RM1,500, kata seorang bapa Mohd Suhaimi Ibrahim

“Saya percaya bantuan ini dapat meringankan beban golongan sasaran.”

Khatijah Hashim, 42, pula menganggap skim yang diperkenalkan ini sebagai mengesahkan lagi tanda kesungguhan Kerajaan Negeri meningkatkan mutu pencapaian pendidikan rakyat negeri ini.

“Sebelum ini ada Tuisyen Rakyat, sekarang pula Skim Tunas, saya nampak Kerajaan Negeri betul-betul serius nak tingkatkan pencapaian pendidikan rakyat Selangor,” kata Khatijah.

Turut hadir pada majlis hari ini ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman, Pengerusi Majlis Permuafakatan Tadika Selangor, Dr Supian Hussein, dan penyelaras-penyelaras DUN.

Tiada ulasan: