Isnin, 23 Julai 2012

PRU13: Umno gerak 6,667 pusat daerah mengundi

SINAR HARIAN

Ahmad Maslan
Datuk Ahmad Maslan
 
 
PUTRAJAYA - Umno telah mengerakkan kesemua 6,667 Pusat Daerah Mengundi (PDM) untuk mengukuhkan jentera bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang, kata Ketua penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini telah membuat keputusan untuk mengaktifkan PDM di kesemua 191 bahagian Umno dan 20,000 cawangan di seluruh negara.

"Kita telah memberi taklimat kepada semua Ketua Penerangan Umno Negeri untuk mengadakan pelbagai program sepanjang bulan Ramadan ini. Umno pusat akan menyalurkan peruntukan untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti termasuk berbuka puasa dan bersahur.

"Jentera bahagian Umno telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan diadakan pada bila-bila masa. Sehubungan itu Umno mengaktifkan PDM sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Majlis Nur Ramadan di kediamannya di Presint 10 di sini.

Kira-kira 100 anak-anak yatim dari Rumah Amal Belaian Kasih, Hulu Kelang, Rumah Anak Yatim, Miskin, Shifa, Setapak dan Rumah Kebajikan Al-Nasuha, Gombak hadir pada majlis tersebut.

Ahmad berkata setiap bahagian Wanita, Pemuda dan Puteri akan mengambil satu PDM sebagai anak angkat untuk memastikan jentera parti mendekati pengundi di peringkat akar umbi.- Bernama

Tiada ulasan: