Isnin, 23 Julai 2012

PRU13: Seminar Pas sasar input dasar negara kebajikan

Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM - Sementara spekulasi menyebut Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan September ini, Pas menganjurkan Seminar Membangun Negara Berkebajikan pada 5 Ogos ini untuk membincangkan polisi dan cabaran bagi merealisasikan Tawaran Negara Berkebajikan Pas jika Pakatan Rakyat (PR) menawan Putrajaya.

Seminar anjuran Pusat Penyelidikan Pas (PPP) dilihat lanjutan kepada ucapan dasar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar parti itu Jun 2011 dan pelancaran buku Negara Kebajikan akhir tahun lalu.

Idea beliau itu telah dikecam oleh parti pesaingnya atas alasan Pas sudah berubah dasar perjuangan dan Barisan Nasional (BN) telah pun menitikberatkan soal dan aspek kebajikan dalam setiap dasar dan programnya.

Pengarah Operasi PPP, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, seminar ini akan memberi peluang kepada kepimpinan Pas di peringkat pusat dan wakil-wakil rakyat parti itu serta pakar-pakar dalam pelbagai bidang untuk duduk berbincang mengenai polisi dan cabaran apabila berjaya membentuk kerajaan.

"Seminar ini juga memberi peluang kepda kepimpinan Pas untuk mendapat input, sumbang saran dan pandangan daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang dan peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan taraf hidup," kata beliau dipetik Harakahdaily.

Menurut beliau, seminar sehari itu juga berperanan sebagai medium bagi kepimpinan Pas menyampaikan pandangan kepada masyarakat secara perbincangan dua hala.

Tambah Mohd Zuhdi, PPP akan mengumpul data dan bahan yang diperoleh daripada seminar ini untuk didokumentasikan, seterusnya dijadikan bahan rujukan untuk merangka dan membentuk dasar-dasar berkaitan implementasi Dokumen Negara Berkebajikan kelak.

Dirasmikan oleh Naib Presiden, Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, katanya, seminar ini terbahagi kepada tiga wacana iaitu Mampukah Rakyat Malaysia Memiliki Rumah Sendiri?, Implementasi Sistem Percukaian Di Malaysia – Satu Kajian Semula, dan Sukan dan Hiburan Di kalangan Belia dan Anak Muda.

Antara ahli panel ialah Ketua Penerangan Dewan Ulama, Nik Mohd Zawawi Salleh yang juga Setiausaha Majlis Syura Pas; bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi, Prof. Datuk Dr Nik Mohd Zain Nik Razak, bekas pegawai Bank Negara, Dr Rosli Yaakob dan  Pengarah dan Penerbit Drama/Filem, Ahmad Idham Ahmad Nadzzri.

Katanya, program ini merupakan kesinambungan daripada Seminar Pembentukan dan Penilaian Polisi Awam pada 8 Julai lalu yang memberi pengenalan kepada ahli-ahli Pas yang berpengalaman dalam bidang masing-masing untuk merangka dan membentuk polisi-polisi awam.

Tiada ulasan: