Bagi meneruskan program 'Semboyan Dibunyikan', BN Pulau Pinang melancarkan 'pentas bergerak', sebagai usaha meneruskan pendekatan 'serang dan terang' bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
  
Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow berkata sebuah trak yang telah diubahsuai itu dilengkapi dengan pentas dan sistem audio visual, akan dibawa kesemua 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu bagi program ceramah.
  
"Kita boleh bawa sampai dekat pasar malam, pasar tani. Semua tempat yang membolehkan kita berhenti, buka jadi pentas...dah tak ada masalah. Semua tempat pun boleh," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pentas bergerak itu di George Town malam tadi.
  
Beliau berkata untuk permulaan, hanya sebuah trak akan digunakan dan BN negeri bercadang untuk menambah bilangannya berdasarkan kepada keperluan.
  
Teng berkata pihaknya akan cuba sedaya upaya untuk melibatkan semua barisan pemimpin BN negeri dalam setiap jelajah yang akan diadakan kelak bagi mendekatkan rakyat dengan pucuk pimpinan parti.
  
Program 'Semboyan Dibunyikan' dilancarkan Jun lepas antara lain bertujuan untuk menjawab tohmahan dan memberi penjelasan isu-isu yang dibangkitkan Pakatan Rakyat. Bernama