Isnin, 16 Julai 2012

PRU-13 tak mungkin tahun depan?

MALAYSIA CHRONICLE



KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggambarkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak akan diadakan tahun depan.

Beliau berkata, tahun ini adalah masa yang terbaik untuk diadakan pilihan raya umum itu.

''Saya tak fikir ia akan berlangsung tahun depan. Wallahualam. Tak tahulah Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak). Tetapi saya beritahu yang terbaik adalah tahun ini.

''Jadi, kalau tahun ini sekarang sudah Julai, bulan puasa. Ada orang tanya apakah bulan puasa nak diadakan pilihan raya? Saya kata, apa salahnya?,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Batu di Kompleks Darul Kifayah, Taman Koperasi Polis Fasa II, di sini hari ini.

Menurutnya, tidak ada salahnya juga jika pilihan raya umum diadakan pada Ogos iaitu ketika umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri dan menyambut Hari Kebangsaan.

Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Syed Ali Alhabshee dan Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Yahaya Mat Ghani.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, para pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO di semua peringkat juga perlu bekerja keras bagi menambat hati pengundi sementara menunggu tarikh pilihan raya umum diumumkan.

''Presiden parti (Datuk Seri Najib) juga tidak berhenti kerja siang malam. Ingatlah, Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu adalah satu isyarat dan amaran besar buat kita. Kalau tak berubah, ikut cara lama, malas dan tak turun ke bawah, tak payah tanyalah bila mahu diadakan pilihan raya. Sebab itu setiap hari Perdana Menteri turun padang. Rakyat ceritakan masalah, kita tak boleh 'tutup telinga'.

''Kita adakan pelbagai program seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Kita bagi semua, tak tanya dia UMNO atau Pas atau DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kemudiannya bantuan buku dan persekolahan, Kedai Rakyat 1Malaysia, Kedai Kain Rakyat 1Malaysia. Orang kata ini kosmetik. Bukan, ini serius. Semuanya untuk rakyat,'' jelasnya.

Katanya, tindakan Perdana Menteri yang selalu turun padang seharusnya dicontohi oleh pemimpin-pemimpin lain di semua peringkat dalam parti.

''Selangor, Kedah kita kalah. Sebab itu kena bantu kembalikan semula kepada BN. Dekati rakyat agar tidak ada yang terbiar,'' tegasnya.

Terdahulu pada majlis sama, beliau menyampaikan surat tawaran rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada 12 penerima selain penyampaian peralatan keusahawanan untuk 69 penerima di bawah Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (M3P) Batu.

Muhyiddin turut mengarahkan Yahaya membawa wakil penduduk Kampung Medan Wira dan Kampung Chubadak Jaya di Batu untuk bertemu beliau bagi membincangkan masalah yang dihadapi penduduk di kampung berkenaan.-Utusan

Tiada ulasan: