Selasa, 3 Julai 2012

Projek LRT: 10,000 penduduk Ampang bakal terancam – Zuraida

Oleh Mohd Martin Kahar


AMPANG : Projek tambahan bagi kerja-kerja penyambungan LRT Ampang bernilai RM1.1 bilion yang dianugerahkan kepada Konsortium George Kent Berhad melalui campur tangan kerajaan bakal mengancam keselamatan hampir 10,000 penduduk.

Menurut Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, mereka yang terlibat membabitkan penduduk di Kampung Melayu Ampang, Kampung Melayu Tambahan, Taman Dato’ Ahmad Razali, Taman Ampang Utama dan Kampung Berembang.

Beliau berkata, projek itu dibangunkan oleh syarikat yang tiada kepakaran dalam pembinaan LRT sebaliknya hanya terlibat dalam kerja-kerja perpaipan.

“Saya difahamkan ada lebih lapan syarikat yang masuk tender projek ini tetapi ia ditolak oleh kerajaan.

“Sepatutnya kerajaan memberikan tender ini kepada syarikat yang lebih layak, bukan melalui campur tangan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Wanita KEADILAN berkata, penduduk rata-rata tidak mengetahui projek itu kerana tiada papan tanda projek selain tiada pengumuman pelan belanjawan dan pelan perancangan laluan.

Malah beliau juga bimbang tanah penduduk kampung akan dirampas oleh Umno BN pada masa akan datang.

Menurut Zuraida, tanah tersebut berstatus sementara dan tidak diberi geran ketika pemerintahan Umno BN.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Stategi KEADILAN, Rafizi Ramli mendapati, George Kent yang memenangi tender untuk projek penyambungan LRT Ampang tidak mempunyai kemampuan dari segi teknikal dan kewangan untuk menyelenggara projek itu.

Malah syarikat itu juga katanya, menerima penilaian rendah berbanding pembida lain dari segi pengalaman dan kemahiran teknikal.

Tiada ulasan: