Oleh Mohd Martin Kahar
KUALA LUMPUR : Ketika pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelbagai insentif kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun masih ada anggota terbabit tidak dibayar elaun yang sepatutnya diterima.
Adu seorang anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan kepada Keadilan Daily, beberapa elaun termasuk kedatangan, uniform serta kenderaan tidak dibayar sejak beberapa tahun lalu dan ia melibatkan seluruh kontinjen di negeri itu.
“Elaun kedatangan yang sepatutnya kami terima adalah RM4.00 setiap jam. Tapi ia tidak dibayar sejak April tahun lepas. Kami juga diperuntukkan RM200 untuk elaun uniform setiap tahun tetapi kami tidak dibayar sejak dua tahun lalu.
“Bagi elaun kenderaan, jika kami membuat rondaan, sepatutnya dibayar RM0.20 setiap kilometer. Tetapi elaun berkenaan dihentikan sejak 10 tahun lalu,” katanya yang enggan dikenali.
Menurut beliau, tahun lalu ramai anggota terpaksa membeli kain dan perkakasan uniform lain menggunakan duit sendiri disebabkan peruntukan tidak mencukupi.
“Butang baju pun kena beli sendiri. Itu mungkin tak jadi masalah sebab harganya murah. Kasut kawad yang berharga RM280 sepasang kena beli sendiri. Semua kena beli sendiri, cuma ‘kad kuasa’ saja yang disediakan,” katanya.
Beliau yang kini sudah berkhidmat lebih 15 tahun juga mendakwa, PDRM Johor tidak membayar bonus kepada anggota yang cukup tempoh perkhidmatan setahun.
Katanya, perkara itu telah dipanjangkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, namun alasan yang diberikan, peruntukan untuk 2011 dan 2012 sudah habis.
Bagaimanapun, maklumat dalaman yang diperolehinya mengatakan, sebahagian peruntukan kepada PDRM Johor diagihkan untuk majlis-majlis keraian.
Beliau turut menyatakan kekecewaan kerana tertipu dengan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang dicanang Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk penambahbaikan PDRM, sedangkan tiada perubahan terhadap pasukan itu.
Akui indeks jenayah makin tinggi
Ditanya mengenai indeks jenayah, beliau mengakui, indeks sebenar jenayah di negara ini masih pada peringkat membimbangkan tidak seperti dilapor media arus perdana.
Katanya, perkara itu disebabkan PDRM tidak telus dalam menangani jenayah yang berlaku.
“Di Johor misalnya, banyak pusat-pusat judi dan pelacuran. Jika ada aduan terhadap 10 pusat pelacuran, polis hanya membuat dua serbuan saja. Itupun mereka datang untuk kutip duit daripada pusat-pusat ini.
“Saya bukan nak memburuk-burukkan polis, tapi inilah realitinya. Sebab itu, saya betul-betul kecewa dengan NKRA Hishammuddin,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan