Ahad, 22 Julai 2012

Polis Besut tahan 60 penagih sedang khayal di kebun kenaf

THE MALAYSIAN INSIDER
 
 
BESUT – Polis menahan 60 lelaki termasuk seorang warga Indonesia yang sedang khayal akibat dadah di kawasan kebun kenaf berhampiran Kampong Tok Saboh, Kuala Besut semalam.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Zakaria berkata dalam serbuan 6 pagi itu polis turut merampas pelbagai jenis dadah dan bungkusan berisi ganja kering daripada penagih yang ditahan.

Mereka yang berumur antara 21 dan 64 tahun itu bekerja sebagai nelayan dan buruh dari sekitar Kuala Besut dan Pasir Putih, Kelantan, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Ujian air kencing semua lelaki terbabit didapati positif dadah dan mereka akan didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya, katanya.

Beliau berkata polis percaya kawasan itu baharu sahaja dua minggu dijadikan pangkalan penagih mendapat bekalan dadah dan melepas gian.

Kamaruddin turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kawasan penagih melepas gian melaporkan kepada polis. – Bernama

Tiada ulasan: