Rabu, 11 Julai 2012

Peserta 'Occupy Pejabat MB' tunggu pendakwaan

Zulaikha Zulkifli


 
Sekumpulan 25 orang yang ditangkap polis kerana enggan berganjak daripada perkarangan Pejabat Menteri Besar Pahang semalam kini sedang menunggu di Kompleks Mahkamah Kuantan untuk menghadapi pertuduhan.

Seorang peguam yang mewakili tahanan berkenaan, Hon Kai Ping berkata, mereka masih lagi menunggu keputusan daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya yang memohon untuk menjalankan prosiding terhadap tahanan.

"Kita dimaklumkan oleh pejabat Timbalan Pendakwa Raya, mereka sedang menunggu keputusan dari (Pejabat Peguam Negara) Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran membuat tuduhan mahkamah kepada tahanan.
"Kami telah tunggu dari pagi tetapi sehingga kini tiada lagi apa-apa keputusan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut Hon lagi, mengikut perundangan, setiap tahanan tidak boleh ditahan melebihi 24 jam dari tempoh mereka ditangkap.

Oleh itu, semua 25 orang itu, daripada 31 yang ditangkap polis semalam semasa kempen 'Occupy Pejabat MB' semalam mungkin akan dibebaskan petang ini, katanya.
Enam daripadanya yang merupakan kanak-kanak telah dibebaskan semalam.

"Mengikut perundangan tak boleh menahan tahanan lebih daripada 24 jam dari tempoh dia ditahan sekiranya tiada perintah mahkamah.

"Mereka ini ditangkap semalam kira-kira pukul tiga lebih. Kemungkinan untuk dibebaskan ada. Tapi kita perlu tunggu dan lihat dulu," kata Hon yang juga merupakan pengerusi peguam negeri Pahang.

Menurut Hon, tahanan berkenaan akan diwakili oleh seramai enam peguam daripada Majlis Peguam Pahang.

Tiada ulasan: