Ahad, 15 Julai 2012

Penduduk Subang Alam Mahu Stesen, Laluan LRT Baru Dipindahkan





SHAH ALAM : Kira-kira 300 penduduk di sini, meminta pihak berkuasa menghentikan pembinaan stesen transit aliran ringan (LRT) di kawasan taman perumahan mereka kerana khuatir ia akan menyebabkan tanah runtuh.

Persatuan Penduduk Subang Alam (SARA) mahu tapak jajaran LRT bagi stesen 11 dan 12 pada laluan penyambungan LRT Subang Jaya dipindahkan ke satu tapak berhampiran yang lebih selamat.

Naib Yang Dipertua SARA Jamaludin Sarif berkata pembinaan di tapak sekarang mengundang bahaya kerana ia melalui kawasan sempit antara tasik bekas kuari dan deretan rumah di Subang Alam dan Putra Heights.

Laluan sekarang juga berhampiran dengan dengan SMK Alam Megah dan SJK(C) Tun Tan Siew Sin.



Beliau berkata, aktiviti kerja tanah, pemotongan cerun dan penanaman cerucuk untuk tiang landasan dikhuatiri menggangu kestabilan tebing tasik dan mencetuskan runtuhan tanah di masa akan datang.

“Laluan LRT ini akan melalui satu genting sempit selebar 20 meter di antara kawasan perumahan dengan tasik bekas kuari yang curam dan dalamnya 70 meter.

“Kawasan bekas kuari batuan memang berisiko tinggi. Sebarang pembangunan di kawasan seperti ini perlu mematuhi syarat ketat sebelum boleh diluluskan.

“Kami amat bimbang dengan risiko bencana ini kerana impaknya sangat besar dan boleh menjadi malapetaka yang dahsyat,” katanya dalam satu sidang media di sini, pagi tadi.

Beberapa gambar rajah mengenai risiko dan senario yang bakal terjadi sekirannya pembinaan laluan ini diteruskan ditunjukkan kepada media.

Jamaludin menyarankan agar laluan dan tapak kedua-dua stesen tersebut dipindahkan ke satu lagi cadangan tapak yang berhampiran yang difikirkan lebih selamat.



Cadangan tapak itu dikeluarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 2011 sebelum binaan di tapak sekarang, yang dicadangakan Syarikat Prasarana Berhad (SPNB), dimulakan.

Ini kerana, cadangan laluan LRT MBSA akan dibina melalui jalan raya lebar, kawasan komersial yang dapat menarik lebih ramai pengguna dan berisiko rendah.

“Kami merayu agar pihak kerajaan dapat membantu membuat keputusan yang bijak untuk mengelak tragedi yang sememangnya boleh dicegah.”

Tiada ulasan: