Ahad, 15 Julai 2012

Pemimpin Umno: Elok PRU13 selepas Bajet 2013

G MANIMARAN dan JAMILAH HAMZAH

Pemimpun Umno: Elok PRU13 selepas Bajet 2013
Ahmad Maslan
 
 
KUALA LUMPUR - Di sebalik pelbagai spekulasi dan teka-teki mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), seorang pemimpin kanan Umno berharap ia diadakan hanya selepas Bajet 2013 - yang disifatkan sebagai "senjata penting" bagi Barisan Nasional (BN) - dibentangkan akhir September ini.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, beliau secara peribadi berpendapat lebih elok PRU13 diadakan selepas belanjawan dibentangkan.

"Pada saya elok lepas bajet. Secara peribadi, sebab kita ini jenis kerajaan yang  menepati janji dan bajet yang lepas kerajaan telah tepati janji-janjinya.

"Jadi kalau kerajaan bentang lagi bajet, rakyat akan tahu bajet itu akan ditepati. Jadi untuk apa kita perlu awal-awal. Ya tak? Kalau kita tahu 28 September itu (hari) bajet, kenapa kita perlu melepaskan peluang kita ini... ini pandanagn peribadi sayalah, tapi masih lagi terpulang kepada Perdana Menteri," kata beliau merujuk kepada keistimewaan Perdana Menteri dalam memanggil PRU dan juga pembentangan Bajet 2013 yang dijadulkan 28 September ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya pandangannya mengenai tarikh yang sesuai bagi PRU13 ketika ditemui Sinar Harian Online di bangunan Parlimen baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas apabila ditanya sama ada Majlis Tertinggi Umno ada membincangkan idea beliau itu.

Akhir Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Bajet 2013 akan dibentangkan di Parlimen pada 28 September.

Selepas siri spekulasi dan teka-teki bahawa PRU13 akan diadakan awal Jun dan Julai, kini banyak pihak meramalkan ia akan dipanggil selepas sambutan Aidilfitri dan Hari Kebangsaan 2012. Aidilfitri akan disambut akhir bulan depan dan ia akan disusuli dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 16 September.

Malah, ada yang meramalkan PRU13 akan dipanggil awal tahun depan atau di akhir mandat semasa.

Mandat semasa Kerajaan Pusat yang dipimpin BN akan berakhir penghujung April 2013.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, rakyat telah menerima dan merasai kesemua janji yang diumumkan oleh Kerajaan Pusat pada Bajet 2012.

"Bajet tahun lepas rakyat telah menerimanya. Antara yang terbesar RM100 (untuk pelajar sekolah), RM200 (penunttu institusi pengajian tinggi) dan RM500 (Bantuan Rakyat 1Malaysia). Dan, rakyat menerima RM100 dan RM200 itu tanpa mengira kaum dan RM500 juga tanpa mengira kaum, yang layak semua dapat.

"Jika pilihan raya lepas bajet, bermaksud pilihan raya itu beri keyakinan... bererti rakyat sudah ada dalam kepala mereka, kalau kerajaan janji dalam bajet, dia (kerajaan) akan tunai.

"Dan, kita ke hulu hilir kita buat jelajah janji ditepati. Apa yang kita janji dalam bajet kita tepati," katanya dilihat merujuk kepada program Janji Ditepati, yang dilancarkan bulan lalu.

Sehubungan itu jelas beliau, sekiranya PRU13 diadakan selepas pembentangan belanjawan, bererti janji-janji itu kepada rakyat akan dilaksanakan.

"(Jadi), untuk apa kita ingin membuang senjata yang begitu penting," katanya.

Tiada ulasan: