Selasa, 17 Julai 2012

Pemecatan Abu Bakar untuk pulih imej kerajaan, kata Mahfuz


KUALA LUMPUR – Datuk Mahfuz Omar hari ini mendakwa, pemecatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah dilakukan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak untuk memulihkan imej kerajaan terutamanya perdana menteri yang tercalar dalam isu skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Menurut naib presiden PAS (gambar) itu lagi, surat menamatkan jawatan Tan Sri Abu Bakar Abdullah ditandatangani sendiri oleh Najib walaupun orang nombor dua dalam perkhidmatan awam itu masih belum melepasi usia pencen rasmi kakitangan awam.

“Ini bukan kepentingan awam, ini kepentingan poilitik untuk kembalikan persepsi yang baik kepada Najib,” tegas Mahfuz.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menegaskan, beliau sendiri telah melihat salinan surat penamatan jawatan Abu Bakar itu, malah, beliau turut mengesahkan mempunyai salinan surat tersebut.

“Saya tahu sebab saya ada salinan surat, kalau Najib nak nafi, silakan, (tapi) memang saya sudah melihat surat itu,” kata Mahfuz ketika sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, Mahfuz tidak mendedahkan kepada media salinan surat penamatan jawatan berkenaan, ekoran dokumen tersebut menurutnya diklasifikasikan sebagai sulit.

“Saya tidak boleh tunjuk salinan surat. Ia dokumen sulit, ada sumber dalaman yang menyerahkan kepada saya,” kata Mahfuz kepada pemberita.

Mahfuz sebelum ini juga telah mendesak Najib supaya mengemukakan penjelasan berhubung tindakan menamatkan jawatan Abu Bakar yang berkuatkuasa pada 1 Julai lalu.

Beliau juga menganggap tindakan “mengejut” itu sebagai “misteri” dan telah menimbulkan persoalan terhadap 1.4 juta penjawat awam sedangkan, Abu Bakar, 57, telah pun bersetuju untuk melanjutkan tugasnya sehingga usia 60 tahun.

Mahfuz turut mengulangi kenyataannya sebelum ini yang mendakwa beliau difahamkan penamatan tugas Abu Bakar dibuat dengan menggunakan Perkara 49 Peraturan Pegawai Awam dan Tatatertib (kelakuan dan tatatertib).

“Jika Abu Bakar dikenakan tindakan di bawah Perkara 49, beliau berkemungkinan tidak akan menerima pencen untuk tempoh 37 tahun perkhidmatannya sebagai kakitangan awam.

“Paling tidak pun hanya tinggal 10 peratus,” katanya lagi.

Mahfuz juga ketika sidang media itu turut mempersoalkan tindakan Putrajaya melantik Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa kerana jika mengikut turutan senioriti, Abu Bakar adalah individu yang paling layak kerana beliau berada di kedudukan Gred Turus 2, sedangkan Ali Hamsa hanya berjawatan peringkat Gred Turus 3.

“Beliau (Ali) telah melangkau dua seniornya, (Tan Sri ) Sidek (Hassan), dan juga Abu Bakar. Sedangkan semasa Sidek menjadi KSN, Abu Bakar adalah individu terkanan dalam perkhidmatan awam dan seharusnya beliau yang dilantik sebagai KSN selepas Sidek menamatkan tugasnya.

“Isu ini akan membunuh daya rangsangan perkhidmatan awam kerana kerajaan tidak melihat kepada kedudukan senioriti dan kedudukan terkanan dalam perkhidmatan awam dalam membuat lantikan,” tambah bekas timbalan pesuruhjaya PAS Kedah ini lagi.

Dalam sidang media hari ini, Mahfuz turut memaklumkan, beliau telah menyerahkan surat kepada perdana menteri untuk memberikan penjelasan berhubung perkara itu, yang diserahkan melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

Tiada ulasan: