Ahad, 22 Julai 2012

Pas akui manfaat ‘kelebihan artis’ ubah landskap politik

Jamilah Hamzah

Abby Abadi jadi ahli seumur hidup Pas
Abby Abadi, artis terbaru, menyerahkan borang keahlian menyertai Pas. Borangnya diterima oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, minggu lalu.
 
 
SHAH ALAM – Pas mengakui memanfaatkan penglibatan artis dalam politik bagi menarik golongan muda untuk terus bersama memperjuangkan politik baru dan sehubungan itu, Barisan Nasional (BN) tidak perlu mempertikaikan perkembangan tersebut.

Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penglibatan artis dalam politik terutamanya penyertaan mereka dalam Pas telah memberi kesan positif bagi menarik golongan muda bersama pihaknya mengubah kerajaan.

Menurutnya, artis adalah golongan yang mempunyai peminat dan pengikutnya yang tersendiri serta boleh dimanfaatkan dengan tujuan yang baik.

“Ya memang benar penglibatan artis berkesan untuk menarik anak-anak muda pada masa sekarang yang lebih menggemari hiburan dan seni sertai Pas.

“Apa salahnya kita manfaatkan artis untuk menerapkan nilai-nilai murni yang berlandaskan Islam kepada anak muda yang mengikuti golongan tersebut,” katabeliau kepada Sinar Harian Online.

Beliau berkata, Pas tidak pernah menawarkan penglibatan artis dalam politik untuk menyertai Pas, tetapi mereka sendiri mengambil inisiatif untuk berubah menjadi seorang yang mengikut landasan Islam, antaranya menutup aurat.

“Alhamdulillah, penglibatan artis itu bukan kita paksa atau kita ajak, tapi mereka terikut budaya tutup aurat. Golongan muda bersama Pas gembira apabila artis kegemaran berjaya untuk yakinkan mereka dengan Pas telah membawa dimensi baru,” kata beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang.

Tuan Ibrahim berkata, kerjaya seni artis tidak dihalang dan mereka perlu bijak memilih sesuatu lakonan dan sebagainya dengan lebih baik selaras dengan budaya yang diamalkan mereka selepas menyertai Pas.

“Artis sudah ada program dan aktiviti sendiri, kami tak halang, malah aktiviti tersebut berjaya menarik golongan muda menyokong Pas dan Pakatan Rakyat (PR),” katanya lagi.

Kelmarin, Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Pas yang dahulu tidak mengemari golongan artis, kini mungkin memerlukan kerjasama artis dalam kempen mereka di Kelantan kerana tertekan dengan kejayaan BN mendekati golongan muda.

Beliau berkata, BN telah berjaya menarik golongan muda menerusi program kesukarelawan 1Malaysia Youth For You (1M4U) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Ahad lepas dan ia memberi tekanan kepada Pas.

Katanya, dahulu di Kelantan persembahan artis termasuk dikir barat dan Mak Yong diharamkan dan Pas juga tidak begitu gemar dengan golongan artis kerana didakwa terlibat dalam kegiatan tidak bermoral.

Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, penglibatan artis dalam Pas telah memberi kesan kepada golongan muda dan berjaya menarik mereka menyertai parti pembangkang itu.

Katanya, Pas tidak menggunakan artis sebagai jalan menarik golongan muda tetapi mereka secara tidak langsung telah membawa golongan tersebut bersama-sama merubah kerajaan.

“Memang benar artis bagi kesan menarik anak muda sertai Pas dan PR, tapi kami tak ajak mereka sendiri yang datang kepada Pas.

“Barisan Nasional (BN) tak sepatutnya prejudis tentang perubahan ini, biar kami buat cara kami dan mereka buat cara mereka,” katanya.

Mahfuz berkata, walaupun artis telah menyertai Pas, namun pejalanan seni mereka tidak akan terbatas tetapi akan menjadi salah satu perubahan kepada industri seni tanah air.

Tiada ulasan: