Khamis, 5 Julai 2012

Panel siasatan bebas Bersih lawat lokasi perhimpunan 28 April

 
 
KUALA LUMPUR, — Panel siasatan bebas Bersih yang diketuai oleh Tun Hanif Omar hari ini melakukan lawatan ke sekitar lokasi perhimpunan duduk bantah Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu.

Panel berkenaan turut diberi penerangan tentang lokasi sebenar kejadian perhimpunan Bersih 3.0 itu yang berlaku di sekitar kawasan Dataran Merdeka.

Antara lokasi yang dilawati Haniff dan ahli jawatankuasa panel siasatan tersebut adalah di sekitar kawasan Jalan Raja, Jalan Parlimen, dan Dataran Merdeka di mana lokasi halangan didirikan oleh pihak polis dan juga lokasi polis anti rusuhan (FRU) mengadakan sekatan pada perhimpunan tersebut untuk menghalang perusuh.

Menurut Hanif melalui lawatan ke lokasi perhimpunan Bersih itu, panel akan memperolehi gambaran yang lebih jelas berhubung perhimpunan tersebut.

“Dengan melakukan lawatan ke lokasi perhimpunan, panel akan menerima penjelasan lebih terang dan jelas.”

“Kami turut melawat ke depoh FRU di Pusat Latihan Polis Jalan Semarak (Pulapol) dan tengok macam mana FRU bertindak. Adakah ada perubahan dalam peralatan semasa hari itu (Bersih), sama ada polis nak mententeramkan keadaan atau nak bergasak,” katanya kepada pemberita.

Lawatan hari ini bagaimanapun, jelas Hanif, hanya melibatkan penjelasan dan penerangan daripada pihak polis, dan juga bukan polis, termasuk seorang wartawan daripada akhbar The Sun, Pauline Wong, yang turut serta memberikan keterangan kepada panel berhubung insiden perhimpunan Bersih 3.0 lalu.

Hanif turut menolak untuk menyediakan “mock up” untuk melihat kejadian dan lokasi sebenar semasa  perhimpunan tersebut kerana menurutnya, panel telah menerima penerangan jelas daripada pihak polis dalam sesi lawatan hari ini.

“Tidak perlu mock up. Kami sudah menerima penerangan jelas daripada pihak polis hari ini.
“Kami datang sini kerana kami dengar penjelasan polis, dan bukan polis. Bila kami lawat kami dapat pemahaman lebih jelas,” tambah Hanif.

Lawatan hari ini turut melibatkan sebuah bas, dua van, dan lima buah kereta daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tiada ulasan: