Sabtu, 21 Julai 2012

Palanivel: MIC masih kuat, mampu beri saingan

Wartawan Sinar Harian

Palanivel: MIC masih kuat, mampu beri saingan
Palanivel pada Program Ulaga Siddhar Manadu 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di Johor Bahru, semalam.
 
 
JOHOR BAHRU - Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel menafikan parti itu lemah dan menyifatkan laporan blog yang meramalkan parti itu akan memperoleh bilangan kerusi yang kurang  pada Pilihan Raya Umum ke13 (PRU13) sebagai tidak berasas.

Sehubungan itu tegas beliau, MIC masih kuat meskipun mengalami kekalahan teruk pada PRU12 empat tahun lalu.

Jelasnya, pada pilihan raya umum lalu, semua parti komponen Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan, tetapi ia tidak bermaksud parti itu lemah.

"Dulu semua kalah banyak, Umno kalah banyak, MCA kalah banyak, MIC kalah banyak tetapi pada pilihan raya akan datang kita tetap akan bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)," kata beliau selepas merasmikan Program Ulaga Siddhar Manadu 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, semalam.

Palanivel berkata, MIC bersedia mengadakan perbincangan sekiranya pucuk pimpinan BN mahu melakukan pertukaran kerusi tetapi menegaskan bukan mengurangkan jumlah kerusi yang bakal ditandingi MIC.

"Sekiranya mahu melakukan pertukaran kerusi, kita boleh berbincang tetapi untuk kurangkan kerusi tidak boleh," katanya.

Laporan blog itu mengandaikan parti komponen terbesar kaum India itu berkemungkinan akan dikurangkan kerusi pada PRU-13.

Pemerhati politik dan penyokong setia parti itu didakwa meramalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melihat kembali bilangan kerusi parlimen dan negeri yang dimiliki MIC.

Dalam pilihan raya umum 2008, parti itu telah diperuntukkan sembilan kerusi Parlimen negeri dan 19 di bawah panji-panji Barisan Nasional (BN).

Tetapi ia hanya berjaya memenangi tiga kerusi Parlimen dan tujuh. MIC kemudian memenangi satu lagi kerusi Parlimen melalui pilihan raya kecil di Hulu Selangor pada tahun 2010.

Pada pilihan raya umum 2008, MIC hanya menang di kerusi Parlimen Segamat (Johor), Cameron Highlands (Pahang) dan Tapah (Perak).

Tiada ulasan: