Roketkini.com
KUALA LUMPUR: PAS, PKR dan DAP telah mengemukakan permohonan untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat sebagai gabungan yang rasmi sebanyak dua kali, iaitu pada 2009 dan 2011, tetapi kerajaan UMNO-Barisan Nasional masih takut untuk meluluskannya.
Sebaliknya, UMNO-BN sering memutarbelitkan hakikat dengan mendakwa kononnya PAS, PKR dan DAP tidak berani untuk membuat permohonan sebagai gabungan yang sah.
Fitnah terbaru dibuat oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sewaktu perdebatannya dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada Ahad lalu di mana Chua mendakwa kononnya Pakatan Rakyat tidak sependapat tentang logo dan gagal mendaftarkan gabungan oposisi itu secara rasmi.
Ketua Pemuda DAP Anthony Loke menjelaskan bahawa Chua cuba berbohong tentang perkara itu kerana Pakatan Rakyat telah pun menghantar permohonan untuk pendaftaran pertubuhan sebanyak dua kali.
“Kali pertama adalah pada 3 November 2009 dan pada ketika itu Datuk Zaid Ibrahim mewakili PKR sebagai pengerusi dan saya adalah setiausaha agung mewakili DAP sebagai penaja untuk penyerahan permohonan kepada pihak Pendaftar Pertubuhan.
“Pada 3 Mac 2011 satu permohanan yang baru telah dihantar dan Datuk Kamaruddin Jaafar dari PAS telah dilantik sebagai pengerusi menggantikan Zaid Ibrahim dan saya masih menjadi setiausaha agung,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, semasa permohonan kedua pada tahun lalu diserahkan kepada pihak Pendaftar Pertubuhan, beliau dimaklumkan bahawa permohonan pertama masih belum diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri.
Katanya, menteri yang bertanggungjawab dalam perkara tersebut dalam Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Menurutnya, cubaan Chua memburuk-burukkan Pakatan Rakyat yang kononnya tidak komited kerana tidak mendaftarkan Pakatan Rakyat sebagai satu entiti politik adalah satu lagi fitnah BN, sedangkan fakta membuktikan bahawa pihak berkuasa masih enggan meluluskan permohonan Pakatan Rakyat.
Sementara itu, Loke mempersoalkan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempertahankan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang telah menyembunyikan kebenaran tentang status pemastautin tetapnya (PR – permanent resident) di Australia apabial beliau (Ng) dilantik sebagai Senator di Dewan Negara Malaysia.
Katanya, Ng kelmarin telah pun mengaku beliau telah mendapat PR di Australia dan bangga kerana anaknya telah dididik di negara tersebut.
Loke menjelaskan, Ng seharusnya memohon maaf secara terbuka kerana telah memegang jawatan sebagai Senator bagi negara Malaysia selama tiga tahun dari tahun 1993 hingga 1996 sedangkan pada masa itu beliau memegang status pemastautin tetap Australia.
Beliau mempersoalkan sama ada status kewarganegaraan Ng tersebut dimaklumkan kepada kerajaan Malaysia sebelum menerima jawatan sebagai seorang senator.
“Alasan Ng bahawa beliau perlu menjadi PR Australia untuk memudahkan anaknya mendapatkan pendidikan di Australia tidak boleh diterima. Apakah setiap orang yang menghantar anak mereka keluar negara perlu mendapatkan status PR di negara tersebut?” soal beliau – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan