Khamis, 19 Julai 2012

Ops Sikap: PDRM sekali lagi akan guna pendekatan penguatkuasaan tegas

THE MALAYSIAN INSIDER


PULAU AMAN, Pulau Pinang— Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi akan menggunakan pendekatan penguatkuasaan yang lebih tegas dalam Ops Sikap ke-26 sempena Aidilfitri bermula 10 Ogos ini.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid, berkata berdasarkan kajian selepas Ops Sikap ke-25 sempena Tahun Baru Cina, Februari lepas, pendekatan itu telah berjaya mengurangkan kadar kemalangan maut.

“Ops Sikap ke-25 merupakan kali pertama kita dapat menurunkan kadar kematian dan untuk Ops Sikap akan datang kita guna pendekatan sama dengan mengeluarkan saman dan kadar kompaun trafik yang tinggi,” katanya.

Salleh berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Kepolisian Berprofil Tinggi’ dengan penduduk Pulau Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata Ops Sikap ke-26 selama 26 hari bermula 10 hingga 26 Ogos ini akan diadakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).

Salleh berkata PDRM sentiasa bekerjasama dengan semua pihak dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan maut bagi matlamat memastikan perjalanan selesa dan selamat buat pengguna jalan raya semasa musim perayaan.

Dalam Ops Sikap ke-25, Februari lalu, penurunan sebanyak 155 kes kemalangan maut melibatkan 168 kematian dicatatkan berbanding Ops Sikap ke-24 iaitu 183 kes kemalangan maut membabitkan 199 kematian. — Bernama

Tiada ulasan: