Ahad, 1 Julai 2012

NFC: Umno heret Shamsulbahrin untuk lindungi suami Shahrizat

Oleh Norutul Ilham


PETALING JAYA : Tuduhan ke atas Datuk Shamsulbahrin Ismail adalah taktik konsisten Umno bagi melindungi suami Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC), kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.

Shamsulbahrin

Katanya, Umno mencari helah dengan menjadikan ahli perniagaan itu ‘kambing hitam’ dalam skandal ini.

“Shamsulbahrin tidak bersalah kerana dari awal lagi kita lihat ada cubaan sistematik oleh pihak berkuasa untuk melindungi suami Shahrizat, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail yang terlibat dalam skandal NFC.

“Dari awalnya mereka cari kambing hitam dan Shamsulbahrin adalah kambing hitam dalam kes ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, Pengarah Guaman, Latheefa Koya dan Shamsulbahrin.

Mohamad Salleh selaku Pengerusi Eksekutif NFC didakwa cuba merasuah pengawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis.

Beliau merupakan individu penting yang bertanggungjawab dalam isu penyelewengan dana NFC berjumlah RM250 juta.

Pada 30 Disember lalu, pihak berkuasa mendakwa Shamsubahrin, atas tuduhan menipu Mohamad Salleh sebanyak RM1.755 juta.

“Apa yang berlaku baru-baru ini adalah salahguna kuasa pihak peguam negara yang membawa tuduhan tidak berasas ke atas Shamsulbahrin manakala Datuk Salleh diberikan imuniti VIP.

“Malah Shamsulbahrin direman dan diarah melaporkan kepada pihak berkuasa kerana beliau mendedahkan skandal yang melibatkan Umno BN.

“Tindakan ini sesuatu yang mengejutkan. Pada mulanya, tuduhan ke atas beliau adalah menipu Datuk Salleh mengenai RM1.755 juta, kemudian pada 12 Jun lalu, dia dikenakan pula empat tuduhan baru,” katanya.

Sementara itu, Zuraida menyifatkan tuduhan ke atas Shamsulbahrin adalah helah untuk memutar belitkan fakta sebenar.

“Bagaimana kerajaan BN sanggup melindungi mereka yang bersalah sehingga memutar belitkan dakwaan ini ke peringkat yang tidak masuk akal yang pernah terjadi di negara kita.

“PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) baru-baru ini menyalahkan kakitangan kerajaan dalam siasatan skandal NFC. Ini menunjukkan dengan jelas ada orang-orang tertentu yang BN ingin lindungi dan sebaliknya cuba menganiayai Shamsulbahrin dan pegawai-pegawai yang mengendalikan projek NFC,” kata Ahli Parlimen Ampang itu lagi.

Tiada ulasan: