Isnin, 16 Julai 2012

Najib dicabar siasat kes Scorpene, Altantuya

Oleh Nazar Hashim


KUALA LUMPUR i: Kerajaan Datuk Seri Najib Razak dicabar menyiasat skandal Scorpene dan kaitan Perdana Menteri itu dengan pembunuhan Altantuya Shaaribuu, jika benar beliau tidak terlibat dalam kes berkenaan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita sudah mendedahkan semua bukti mengenai dakwaan penglibatan mereka yang terlibat mengenai pembunuhan Altantuya dan juga pembelian kapal selam Scorpene yang sedang dibicarakan di Mahkamah Perancis.

“Kenapa mereka tak mahu siasat dakwaan tersebut jika benar pemimpin yang mereka dokong itu, tidak terlibat dalam kedua-dua kes yang amat mengejutkan negara serta dunia antarabangsa,” soalnya ketika ceramah ‘Merdeka Rakyat’ di tapak pasar ramadan, Pekan Kuah, Jumaat lalu.

Kata Anwar, mustahil Najib tidak mengetahui urusan pembelian Scorpene ketika menerajui Kementerian Pertahanan, begitu juga Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu.

Bercakap di hadapan lebih 5,000 hadirin, Ketua Pembangkang itu mengulangi desakan supaya Najib dan pemilik Perimekar Sdn Bhd, Abdul Razak Baginda memberi keterangan di Mahkamah Perancis.

“Jika beliau desak rakyat supaya hormati mahkamah, kenapa Najib sendiri tidak mahu menghormati Mahkamah Perancis yang turut melibatkan namanya serta Abdul Razak Baginda dalam isu Scorpene,” tegas Anwar lagi.

Tiada ulasan: