Ahad, 22 Julai 2012

Mustapa dijangkiti penyakit 'denial syndrom'

Harakahdaily,
KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan menyifatkan tuduhan Umno kononnya PAS memerlukan artis selepas kejayaan Umno mendekati golongan muda satu tuduhan bersifat penafian.

"Saya menyifatkan bahawa Mustapa telah dihinggapi sindrom penafian atau denial syndrome apabila terus menerus menyatakan bahawa kemasukan golongan artis ini ialah kerana PAS tertekan dengan BN," kata Abdul Latif Abdul Rahman, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan dalam kenyataannya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang disiarkan di dalam laman portal Malaysiakini pada 21 Julai 2012 yang mengulas berhubung fenomena kemasukan golongan artis ke dalam parti PAS kebelakangan ini.

Menurut Mustapa, ia berlaku kerana PAS kini mungkin memerlukan kerjasama artis dalam kempen mereka di Kelantan kerana tertekan dengan kejayaan BN mendekati golongan muda.

Menurut Mustapa lagi, BN telah berjaya menarik golongan muda menerusi program kesukarelawan 1Malaysia Youth For You (1M4U) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Ahad lepas dan ia memberi tekanan kepada PAS.

"Saya mengira Mustapa sebagai seorang Menteri penuh di peringkat pusat tidak wajar untuk mengeluarkan kenyataan yang sebegini cetek yang hanya bertujuan untuk meredakan keresahan pengikut-pengikut setia UMNO dan Barisan Nasional apabila melihat fenomena kemasukan beramai-ramai ke dalam parti PAS pada hari ini," kata Abdul Latif.

Bagi beliau, Mustapa tentunya beranggapan dengan kenyataannya itu, ahli-ahli UMNO akan percaya bahawa kemasukan golongan profesional dan karyawan ke dalam parti PAS pada hari ini tidak akan menjejaskan peluang UMNO untuk mempertahankan Putrajaya di dalam piliharaya umum yang akan datang nanti.

"Hakikatnya satu perkara yang perlu diingat bahawa kemasukan golongan artis khususnya ke dalam parti PAS ialah bukti bahawa seluruh lapisan masyarakat sudah jemu dan muak dengan segala macam penyelewengan yang berlaku di dalam negara yang dilakukan oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional.

"Ia terlampau teruk sehingga tidak mampu lagi diterima oleh rakyat negara ini," kata beliau.

Menurutnya, penyelewengan dan salah guna kuasa ini bukannya satu perkara yang baru, bahkan ia berulang-ulang dengan pelbagai isu yang didedahkan dari masa ke semasa.

Mengaitkan penyertaan golongan artis ke dalam PAS ini kerana kejayaan program kesukarelawan 1Malaysia Youth For You (1M4U) yang dilancarkan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak Ahad lepas juga merupakan satu lagi kenyataan yang melucukan daripada Mustapa Mohamad, tambahnya.

"Bagaimana Mustapa boleh mengatakan demikian sedangkan di barisan hadapan artis yang baru menyertai PAS ialah Bob Lokman yang menyerahkan borang keahlian PAS pada Februari 2011 iaitu kira-kira lima belas bulan sebelum program 1Malaysia Youth For You (1M4U) dilancarkan?! Adakah Pengerusi Perhubungan UMNO telah lupa tentang fakta ini?" soalnya.

Hakikatnya, tambah beliau, yang menggunakan artis untuk menarik kehadiran pengunjung ialah UMNO.

Itulah yang dilakukan UMNO di Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya dan diteruskan oleh UMNO Bahagian Kota Bharu yang menjemput artis wanita melakukan persembahan terbuka untuk menghiburkan para guru yang dipaksa dalam satu program pada minggu lepas.

Bukan lagi rahsia bahawa tanpa pertunjukan seperti ini ditambah dengan habuan kewangan dan paksaan untuk hadir, program yang diadakan UMNO tidak akan mendapat sambutan.

"Barangkali inilah caranya UMNO menyambut kehadiran bulan Ramadhan!" tempelaknya.

"Saya amat bersimpati dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan di atas kenyataan yang begitu naif ini.

"Apapun, saya ucapkan kepada beliau selamat menjalani ibadah di bulan Ramadhan," kata Latif dalam kenyataannya di hari pertama umat Islam berpuasa.

Tiada ulasan: