Khamis, 5 Julai 2012

MRT Ampang: Kedudukan Najib tergugat?

 
PKR akan melancarkan kempen "Utamakan Keselamatan Rakyat" di sepanjang laluan Ampang minggu depan. 




PETALING JAYA: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menegaskan bahawa beliau akan meneruskan siri pendedahan penyelewengan dalam projek tambahan sistem transit aliran ringan (MRT) laluan Ampang, walaupun perkara ini mendapat perhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Rafizi, edaran risalah maklumat dan pelancaran kempen “Utamakan Keselamatan Rakyat” akan diadakan di seluruh MRT laluan Ampang bermula minggu depan.

Katanya, tindakan PDRM yang menolak mentah-mentah dari menyiasat dakwaan campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam penganugerahan kontrak berkenaan mengesahkan persepsi rakyat pimpinan PDRM meletakkan kepentingan Umno-Barisan Nasional (BN) melebihi segala-galanya.

Ini memandangkan tindakan PDRM yang segera menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kebocoran maklumat sulit negara setelah dokumen tender itu diketahui umum.

“Sebarang usaha untuk menakut-nakutkan saya dan rakan-rakan dari terus membongkar skandal ini adalah sia-sia,” kata Rafizi.

Kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin semalam mengesahkan dua perkara itu.Dokumen-dokumen Kementerian Kewangan termasuk minit yang ditandatangani Najib dan dokumen lain berkaitan tender tersebut adalah benar dan asli.

Maklumat tersebar luas 

“Najib bimbang skandal ini bakal menggugat kedudukan beliau apabila maklumat mengenainya tersebar luas,” dakwa Rafizi dalam satu kenyataannya hari ini.

Beliau turut menyatakan kekesalan di atas kenyataan Mohd Bakri kononnya wujud kebocoran maklumat yang menjejaskan keselamatan dan kepentingan negara.

Rafizi sebaliknya berkata, PDRM tidak pula bergegas menyiasat kebocoran maklumat pertahanan negara apabila dokumen sulit mengenai strategi dan kekuatan pertahanan negara dijual kepada syarikat asing, seperti yang didedahkan di Mahkamah Perancis baru-baru ini.

Beliau turut menimbulkan beberapa persoalan berhubung natijah sekiranya kontrak tersebut terus diberi kepada syarikat yang berkaitan seperti didakwa sebelum ini.

“Apakah beliau tidak memahami bahaya kepada jutaan orang awam yang sedang dan bakal menggunakan sistem MRT laluan Ampang sekiranya sebuah syarikat yang langsung tidak ada pengalaman dalam sistem MRT dianugerahkan kontrak ini?

“Adakah beliau sendiri berani menaiki MRT laluan Ampang saban hari ke tempat kerja sekiranya beliau sedar bahawa seluruh kerja-kerja pembinaan dikendalikan oleh sebuah syarikat yang hanya berpengalaman mengilang meter air?,” soal beliau.

Rafizi sebelum ini mendakwa Perdana Menteri campur tangan dalam pemberian projek tambahan MRT Ampang bernilai RM960 juta dan dianugerahkan kepada sebuah konsortium yang diterajui syarikat George Kent.

Beliau turut mendedahkan beberapa dokumen kepada umum sehingga polis bertindak menubuhkan pasukan khas menyiasat pendedahan dokumen tender kontrak sambungan projek tersebut yang diklasifikasikan sebagai rahsia kerajaan.

Tiada ulasan: