Selasa, 17 Julai 2012

MB: Selangor akan ambil alih pentadbiran SYABAS

TERKINI
 
 
SHAH ALAM, — Kerajaan negeri Selangor mengambil alih pentadbiran SYABAS, syarikat pembekal air di negeri itu, kata Tan Sri Khalid Ibrahim tengahari ini.

Menteri Besar Selangor itu berkata, masalah kekurangan air tidak seharusnya berlaku dan kerajaan negeri meragui tentang cadangan catuan air oleh SYABAS kerana Pengawal Selia Air Negeri dan Ahli Lembaga Pengarah tidak dimaklumkan.

Kerajaan negeri juga meminta Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Pengawal Selia Air Negeri untuk memantau perkhidmatan air oleh SYABAS, dan satu jawatankuasa ditubuhkan bagi meminta SYABAS untuk memberi laporan harian untuk menerangkan kedudukan air semasa.

“Keadaan sekarang tidak boleh disamakan dengan krisis air pada tahun 1998 kerana tujuh empangan negeri mempunyai kapasiti air yang mencukupi dan kadang-kala melimpah.

“Setakat laporan hingga April 2012, SYABAS mempunyai jumlah tertunggak kepada operator rawatan air dianggarkan berjumlah RM2.8 billion ringgit. SYABAS juga gagal menurunkan kadar air tidak berhasil (non-revenue water) kepada 20 peratus. Laporan audit juga mendapati SYABAS tidak melaksanakan kerja-kerja ‘capex’ (capital expenditure) dengan baik,” kata Menteri Besar lagi.

Kerajaan negeri juga katanya lagi, telah menghantar surat kepada kerajaan Persekutuan sebanyak dua kali pada 19 Disember 2008 dan 21 Januari 2011 untuk membatalkan perjanjian konsesi tersebut.

“Jika kerajaan Persekutuan benar-benar mahu memberi perhatian kepada rakyat Selangor, mereka harus memikirkan hal ini sebaiknya,” kata Khalid dalam sidang media.

Pada 14 Julai yang lalu SYABAS telah membentangkan cadangan kepada Suruhanjaya Bekalan Air Negara (SPAN) untuk mengadakan catuan air khususnya untuk Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Klang.

Dalam laporan mingguan yang dibentangkan SYABAS, permintaan bekalan air telah mencecah 4,324.79 juta liter sehari (MLD) dengan rizab air berjumlah 46.21 MLD atau 1.6 peratus, jauh dari 20 peratus dari yang disyorkan.

Syarikat pembekal air itu juga berkata musim kering bagi Jun juga menyebabkan bekalan air berkurangan, disamping pencemaran sungai dan pembaikan loji rawatan air.

Katanya lagi, jika Persekutuan tidak mengambil tindakan ini, kerajaan negeri akan membawa isu ini ke mahkamah berdasarkan Klausa 32 perjanjian konsesi yang membenarkan kerajaan negeri berbuat demikian.

Tiada ulasan: