Selasa, 3 Julai 2012

Masalah Banjir Kilat Taman Indah Perdana Berakhir






SELAYANG: Penduduk Taman Indah Perdana kini mampu menarik nafas lega apabila masalah peparitan yang tidak sempurna diakhiri dengan siapnya kerja baikpulih parit yang lebih bersistematik.

Demikian menurut Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer, Mohamad Abd Rahman kepada TV Selangor.

“Sebelum ini, setiap kali hujan lebat air akan naik dengan cepat hingga memasuki rumah-rumah di sini sebab sistem peparitan yang tidak sempurna.

“Lebih memburukan keadaan, air yang mengalir itu bercampur dengan air dari loji Indah Water berhampiran.

“Sekarang syukur, longkang yang dibaikpulih ini dapat mengalirkan air turun ke parit utama,” kata beliau ketika melawat lokasi kerja membaikpulih longkang itu dijalankan.

Menurut Mohamad, penduduk Taman Indah Perdana terpaksa menghadapi masalah banjir kilat dan air busuk dari loji Indah Water ini semenjak hampir sepuluh tahun lalu.

“Sebenarnya ini bukanlah masalah besar sangat, cuma masalah peparitan tak sempurna sahaja dan boleh diatasi dengan cepat, tetapi masa BN mentadbir dahulu, masalah infrastruktur tak diambil berat.

“Disebabkan kecuaian Umno-BN dahulu memandang rendah masalah ini, maka penduduk di sini sengsara setiap kali hujan lebat, sedangkan pejabat MCA jaraknya cuma kurang 100 meter sahaja dari sini” ujar Mohamad.

Kerja baikpulih itu telah memakan belanja sebanyak RM19,000.

Mohamad turut memberitahu PKM Dun Taman Templer mengambil tindakan serta-merta apabila mendapat tahu masalah ini agar kesengsaraan penduduk perumahan terbabit dapat ditamatkan segera.

Ketika wartawan dibawa ke tapak kerja baikpulih tersebut dijalankan, didapati sehelai kain rentang yang tertera ucapan terima kasih dari penduduk terhadap usaha yang dijalanakan oleh PKM Taman Templer.

Menurut dua warga asing pekerja pembinaan projek itu, kain rentang tersebut telah dinaikkan oleh beberapa penduduk Taman Indah Perdana pada sebelah pagi hari yang sama.

Tiada ulasan: