Atas keprihatinannya terhadap masalah sosial yang dihadapi oleh remaja wanita, seorang pegawai kerajaan hari ini mengadakan program 'Manisnya Menjadi Gadis', hasil inisiatifnya sendiri.
  
Jevartnam Baby, Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kompetensi Kementerian Pelajaran, mengadakan ceramah untuk pelajar perempuan SMK Convent Sentul merangkumi topik kesedaran mengenai HIV dan bercinta berlandaskan agama.
  
Beliau berkata langkah yang diambilnya itu berikutan peningkatan kes HIV, khususnya dalam kalangan remaja perempuan yang semakin membimbangkan.
  
"HIV dalam kalangan perempuan amat tinggi sekali. Menurut statistik, sejumlah 94,414 kes HIV dilaporkan di Malaysia sejak Disember 2010 dengan lima peratus daripada jumlah tersebut melibatkan wanita dan remaja perempuan," katanya.
  
Ketika ditemui Bernama selepas menyampaikan ceramahnya pada program itu di sini hari ini, beliau berkata usahanya juga atas dorongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyeru supaya kakitangan awam lebih prihatin dalam menangani masalah sosial di kalangan remaja, semasa berucap pada Himpunan Penjawat Awam 2012 baru-baru ini.

Jevartnam berkata program julung kali itu diadakan dengan bantuan dua kenalannya iaitu penghidap penyakit HIV yang hanya mahu dikenali sebagai Maligai dan fasilitator modul keyakinan diri Norazliza Abdul Aziz.
  
Beliau berkata program itu bertujuan meningkatkan tahap keyakinan dan motivasi diri dalam kalangan pelajar wanita baik dari segi fizikal, rohani, emosi dan jasmani selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan.
  
Seramai 110 pelajar Tingkatan 4, SMK Convent Sentul mengambil bahagian dalam program ini, dan kesemua pelajar yang mengambil bahagian didaftarkan secara terus di bawah Pembimbing Rakan Sebaya.- Bernama