Selasa, 17 Julai 2012

Mahfuz dakwa wujud ‘salah urus’ kakitangan syarikat dalam pembelian saham FGVH


KUALA LUMPUR, 16 Julai – PAS melihat pemilikan 500,000 unit saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) oleh anak syarikat kerajaan negeri Kedah, yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat (PR) Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) adalah disebabkan “salah urus” kakitangan syarikat berkenaan yang “telah biasa” membuat keputusan tanpa merujuk kepada lembaga pengarah syarikat berkenaan.

Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar (gambar) menjelaskan, kakitangan syarikat tersebut berkemungkinan telah membuat keputusan untuk membeli saham FGVH itu berdasarkan faktor keuntungan, dan bukannya berdasarkan “pegangan politik” kerajaan negeri tersebut.

“Mereka (kakitangan) PKNK itu bekerja dengan profesional. Mereka mungkin telah biasa dengan sistem yang melangkaui keputusan lembaga pengarah yang diamalkan ketika pemerintahan Umno.

“Bagaimanapun saya tidak menyalahkan mereka. Keputusan itu dibuat dengan mengambil kira faktor keuntungan, bukannya pegangan politik kerajaan negeri,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu ketika sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Laporan media sebelum ini menyebut, PKNK mengakui memiliki pegangan 500,000 unit saham FGVH yang diperolehi melalui prosedur sah tanpa kaitan politik.

“Unit saham FGVH yang dimiliki PKNK adalah di bawah peruntukan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang ditawarkan kepada Bumiputera.

“PKNK mohon saham FGVH sebanyak 1 juta unit tetapi Miti hanya luluskan 500,000 unit. Kita beli pada harga RM4.55 seunit, di mana jumlahnya mencecah RM2,275,000,” kata Ketua Eksekutif PKNK, Datuk Abdul Rahman Ibrahim.

Jelas Mahfuz, beliau tidak melihat sebarang unsur sabotaj dalam pembelian saham tersebut kerana pendapatan yang bakal diperolehi daripada penjualan saham FGVH itu adalah untuk kepentingan negeri, dan bukannya atas kapasiti kepentingan peribadi. Duit itu nanti bukan untuk kepentingan peribadi. Ia akan disalurkan kepada kepada kerajaan negeri.

“Saya tidak lihat wujud unsur sabotaj dalam perkara ini ... kakitangan ini telah biasa mendahului lembaga pengarah dalam membuat keputusan, amalan biasa pemerintahan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya dan menambah,”kita perlu ambil sedikit masa untuk mengubah amalan mereka.”

Sementara itu, dalam laporan media sebelum ini, pengarah eksekutif PKNK menjelaskan, “mana-mana syarikat atau individu layak dibenarkan membeli saham itu setelah disenaraikan di Bursa Malaysia dan PKNK berbuat demikian atas prospek perniagaan.”

“Bagi saya ia satu keputusan perniagaan yang bijak. PKNK mensasarkan akan beroleh keuntungan RM500,000 daripada pembelian saham itu,” katanya.

Menurut Abdul Rahman, PKNK juga sudah menjual sejumlah 50,000 unit saham FGVH di pasaran dengan harga RM5.50  seunit dan memperoleh keuntungan kasar sebanyak RM47,500.

Malah, Abdul Rahman turut menegaskan pembelian saham itu juga tidak melibatkan pendirian politik pemimpin PR, sebaliknya PKNK hanya memberikan fokus kepada perniagaan dan mahu membantu lebih ramai usahawan Bumiputera di Kedah.

Beliau turut menjelaskan, PKNK adalah badan berkanun kerajaan yang berperanan sebagai sebuah agensi yang diamanahkan bagi menjaga kepentingan Bumiputera dengan pemantauan daripada Kementerian Kewangan.

Lembaga Pengarah PKNK turut diwakili tiga wakil dari peringkat Pusat, termasuk wakil dari Miti, Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri.

Tiada ulasan: