Jumaat, 13 Julai 2012

Lagi MP PKR ditawar lompat parti

Mereka ditawarkan di antara RM5 juta hingga RM20 juta seorang.

 

Sekitar Dun Selangor 


SHAH ALAM: Beberapa Ahli Parlimen PKR hari ini mendedahkan mereka menerima tawaran di antara RM5 juta hingga RM20 juta seorang untuk melompat parti sama seperti yang dialami rakan sejawat mereka, Azan Ismail dari Indera Mahkota.

Loh Gwo-Burne (PKR-Kelana Jaya), yang turut serta dalam pertemuan bersama Azan di sebuah hotel mendakwa beliau menerima pelbagai tawaran untuk melompat parti dan ini termasuk wang sebanyak RM5 juta.

“Kami dan Azan turut menerima lebih dari satu tawaran dan mereka mahu kami melompat parti.
“Saya juga menghadiri beberapa mesyuarat dan menerima tawaran kontrak untuk ditandatangani,” katanya dalam sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor di sini hari ini.

Bagi Ahli Parlimen Ketereh Abdul Aziz Abdul Kadir, beliau tidak memandang serius tawaran daripada Pengerusi Parti Kesejahteraan Tanah Air (Kita) Kedah, Zamil Ibrahim dan tidak menghadiri mesyuarat seperti dua rakannya yang lain (Loh dan Azan) di sebuah hotel.

“Saya dihubungi individu bernama Zamil dari Kedah. Tapi saya tidak anggap serius dan tidak pernah bagi komitmen apa-apa kepadanya.

“Dia (Zamil) tawar untuk melompat parti dan bukannya menyertai mana-mana parti atau Umno, tapi duduk dalam konsensus bebas. Saya ditawarkan RM5 juta,” katanya menceritakan pengalaman beliau itu.

Berbeza pula dengan situasi yang dialami Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Abd Ghani yang mendakwa percubaan membeli beliau berlaku ketika Datuk Seri Najib Tun Razak masih Timbalan Perdana Menteri dan sedang berusaha untuk merampas kembali Perak.

Beliau mendakwa tawaran tersebut adalah dalam bentuk pakej untuk lapan orang ahli parlimen dan setiap seorang akan menerima RM10 juta seorang dan kemudian dipersetujui pada kadar RM20 juta seorang.

“Tawaran mereka menarik kerana tidak perlu duduk dalam Barisan Nasional dan menjadi wakil Bebas tetapi perlu sokong kerajaan,” kata Amran.

Tiada ulasan: