Selasa, 3 Julai 2012

Kutipan hutang: Butiran di Bajet 2013, kata MB Selangor


SINAR HARIAN

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan menyediakan kertas putih menerangkan penyusunan semula hutang Talam Corporation Berhad (Talam) sebagai lampiran dalam pembentangan Bajet 2013.
   
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kertas putih itu akan dijadikan salah satu laporan dalam Bajet 2013 bagi memudahkan orang ramai meneliti penyusunan hutang itu.
  
"Usaha ini dilakukan kerana masih ada pihak yang tidak faham dengan proses penyusunan semula hutang Talam," katanya kepada pemberita selepas menutup majlis Dialog Bajet Selangor 2013 di Subang Jaya, hari ini.
  
Mengulas dakwaan MCA bahawa kerajaan Selangor menggunakan RM260 juta untuk menyelamatkan Talam, Abdul Khalid berkata beliau tidak faham mengapa angka itu berubah-ubah kerana sebelum ini parti itu mendakwa jumlahnya RM1 bilion.
  
Mengenai dakwaan salah guna kuasa menukar status tanah di Petaling Jaya, Abdul Khalid berkata beliau hanya boleh membuat ulasan selepas sesi pendengaran awam oleh Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) selesai dijalankan.
  
"Saya perlu bersikap berkecuali bagi membuka peluang kepada pihak lain mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan ini," katanya.
   
Sementara itu, beliau berkata Universiti Selangor (Unisel) sedang menyiapkan laporan akaun yang tidak diaudit sejak lima tahun lepas untuk dibentangkan dalam mesyuarat agung tahunan universiti itu tidak lama lagi. - Bernama

Tiada ulasan: