Sabtu, 21 Julai 2012

'Komunis, JI dalam pembangkang belum jejas keselamatan'

Ahmad Fadfli KC
 

 
 
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pengaruh Jemaah Islamiah (JI) dan komunis dalam parti pembangkang masih belum dapat menjejaskan keselamatan negara.

"Setakat ini, berdasarkan laporan yang sampai kepada saya, sebarang penembusan idelogi (dalam pembangkang), tidak menjejaskan keselamatan dan kestabilan negara ini.

"Jadi jangan jadikan ia lebih daripada itu," katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, perkara itu harus dipantau daripada masa ke semasa.

"Saya melihat perkara ini dalam konteks keselamatan negara.

"Jadi tak kira sama ada ia berhubung kait ideologi agama, penyerapan ke dalam pembangkang atau parti kita sendiri, kalau menjejaskan keselamatan nasional, perkara ini kita pantau setiap hari sama ada melalui Cawangan Khas atau Unit Tindakan Khas.

"Kalau ia berkisar kepada keselamatan, bukan sahaja (tunjukkan) bukti tetapi mereka (polis) kena ambil tindakan.

"Tetapi kalau pemantauannya berkisar kepada penglibatan yang tidak menjejaskan keselamatan negara setakat ini, saya tidak bimbang," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi di Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Dua hari lalu, Ketua Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Kebangsaan E2 (M) Mohd Sofian Md Makinuddin mendakwa JI cuba meresapi PAS dan elemen komunis cuba meresapi DAP.

Tambahnya lagi, beberapa pemimpin PKR dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) PSM kerap berkunjung ke Bangkok dan selatan Thailand untuk lawatan rahsia bertemu pemimpin bekas Parti Komunis Malaya.

Hishammuddin bagaimanapun memberitahu yang beliau belum dimaklumkan secara teliti tentang perkara itu oleh Cawangan Khas.

"Saya perlu meneliti lebih lanjut perkara yang mereka (Cawangan Khas) maksudkan," katanya.

Beliau juga menafikan dakwaan penasihat DAP Lim Kit Siang bahawa pengumuman itu dibuat polis sebagai persediaan untuk tangkapan besar-besaran terhadap pemimpin Pakatan Rakyat sebelum pilihan raya umum.

Menurutnya, anggapan Lim tidak benar kerana "dunia sudah berubah".

"Saya rasa tak benar apa dia cakap. Saya rasa apa-apa yang Cawangan Khas katakan merupakan fakta.

"Apa pula nak set the stage (untuk tangkapan beramai-ramai) dari segi politik.

"Saya nak ingatkan pada Kit Siang, dunia sudah berubah," katanya.

Tiada ulasan: