Sabtu, 21 Julai 2012

KLIA2: Lagi kepincangan dalam kontrak

Muhammad Faizal,
 
PETALING JAYA: PKR hari ini mendedahkan wujud penyelewengan berlaku dalam pemberian kontrak bagi kerja-kerja kawalan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) kepada sebuah syarikat yang telah gagal sewaktu proses pembidaan.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar (gambar) pada sidang media di Ibu Pejabat PKR memberitahu jika sebelum ini dikejutkan isu masalah sistem radar yang dibangunkan Selex Sistem Integrati (SELEX) dan Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (AAT) di Pusat Kawalan Trafik Udara Nasional (NATCC) di Subang, kini PKR difahamkan salah satu syarikat tersebut telah mendapat projek di KLIA2 walaupun ia pembida yang kalah.

"Kita mendapat mahlumat bahawa AAT merupakan salah satu dari tiga syarikat yang telah memasukkan bidaan untuk membangunkan sistem kawalan udara di KLIA2.

"Bagi projek KLIA2, syarikat AECOM dilantik menjadi konsultan kepada Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan telah memulakan pengumpulan maklumat, data dan laporan sejak Februari 2010 untuk memberikan pendapat komprehensif; terutamanya di dalam tiga aspek iaitu sistem kawalan udara, prosedur dan peralatan," jelasnya.

Katanya lagi, AECOM juga mendapati ada keraguan dalam keberkesanan sistem kawalan udara SELEX dan mengesyorkan peningkatan sistem kawalan udara supaya ia dinaiktaraf dan kekal relevan supaya dapat menangani kapasiti penerbangan dengan lebih baik dan berkesan apabila KLIA2 dibuka nanti.

"Meskipun laporan penilaian teknikal AECOM bertarikh 9 Disember 2011 telah mengiktiraf kebolehan syarikat AMP Corporation (M) Sdn Bhd (AMCOP) untuk melaksanakan projek tersebut dengan baik dan telah menyarankan AMPCOP dipilih.

"Namun akhirnya projek ini telah diberikan kepada AAT iaitu sebuah syarikat yang mengikut laporan penilaian teknikal tersebut, tidak memenuhi spesifikasi teknikal yang diperlukan untuk projek ini," sambungnya.

Walaupun nilai bidaan AAT adalah lebih rendah daripada AMCOP, kelulusan hanya boleh diberikan sekiranya AAT menepati kesemua keperluan teknikal yang disenaraikan.

Tambahnya lagi, mesyuarat Jawatankuasa Khas Perolehan MAHB juga dengan jelas memberikan penilaian dan rekomendasi seperti berikut pada 15 Mac 2012.

"Pemilihan AAT mengejutkan kerana sebelum ini AAT juga terjerumus di dalam kontroversi yang mengancam keberkesanan keselamatan sistem kawalan udara di Malaysia serta para penumpang pengangkutan udara menerusi makluman dalaman tentang senarai kecacatan dan kestabilan penyenggaraan sistem radar MIP-2 di Lapangan Terbang Subang.

"Insiden-insiden kecacatan di dalam sistem MIP-2 juga diakui oleh Jabatan Penerbangan Awam, dan emel dalaman pegawai DCA dan ATC yang menggambarkan sistem radar kelolaan SELEX tidak berfungsi secara memuaskan," sambung Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi.

Nurul Izzah menegaskan bahawa senarai kecacatan di dalam sistem MIP-2 adalah mirip masalah teknikal yang dihadapi oleh sistem LEFCO keluaran SELEX yang dibatalkan di Cyprus.

"Kalau Parlimen Cyprus berani membatalkan projek, saya desak Kementerian Pengangkutan menjemput ICAO untuk mengadakan audit ke atas sistem MIP-2 dan sekaligus melenyapkan tanda tanya terhadap keberkesanan sistem radar di Malaysia.

"MAHB dan MOT wajib menjawab dan menjustifikasikan penganugerahan projek sistem kawalan udara KLIA2 kepada AAT kerana kita tidak mahu keselamatan orang awam diperjudikan dengan pemilihan semberono," tegasnya lagi.

Sebelum ini, KLIA2 sebelum ini pernah menghadapi kontroversi antaranya, pemilihan tapak dengan permukaan tanah yang lembut dan tidak sesuai untuk membangunkan lapangan terbang namun maklumat yang tidak diketengahkan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) kepada rakyat.

Selain itu, kenaikan kos dari RM1.7 bilion kepada RM 3.6 bilion dan penundaan tarikh siap pembinaan dari September 2011 ke April 2013; menambahkan lagi kontroversi, dan tentunya penggunaan wang rakyat apabila nilai projek KLIA2 melambung tinggi nanti.

Tiada ulasan: