Khamis, 12 Julai 2012

Khalil Affandi disahkan bukan ahli PAS

Posted by admin on July 11th, 2012
 


Polis masih menyiasat latar belakang pasangan yang mengamuk di kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya Isnin lepas bagi mengenalpasti kumpulan ajaran sesat yang mereka sertai, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

“Kita akan siasat latar belakang kedua-dua mereka, tujuan dan motif mereka termasuk blog dan facebook milik mereka, sama ada terdapat pengikut atau nama ketua ajaran sesat atau kumpulan militan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Balai League Table (BLT) Siri 1, 2012 di sini, hari ini.

Ismail berkata pihaknya percaya kedua-dua mereka “kurang sihat” dan apa yang mereka lakukan itu bukan sesuatu yang dirancang.

“Berdasarkan prosedur keselamatan serta menangani insiden amuk itu, pihak polis telah bertindak dengan pantas dan wajar,” katanya.

Pada hari berkenaan, Khalil Afandi Hamid, 47, yang mengaku dirinya Imam Mahadi dan pasangannya yang bersenjatakan dua bilah pedang samurai dan sebilah pisau pemotong daging mengamuk di perkarangan Kompleks B, JPM di Putrajaya.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, Khalil Afandi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari manakala wanita berkenaan, bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di hospital sama.

Ditanya mengenai kenyataan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bahawa Malaysia akan mengikuti Singapura dalam menghapuskan hukuman gantung mandatori terhadap keldai dadah, Ismail berkata: “Kita bersedia untuk bekerjasama”.

Ismail turut menafikan kadar jenayah meningkat serta ia tidak mempunyai kaitan dengan penghapusan Ordinan Darurat 1969 yang menahan penjenayah tanpa bicara.

“Ini merupakan cabaran baru kepada polis dan kita bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran,” katanya.

Khalil bukan ahli PAS

Khalil Afandi dilaporkan adalah  bukan ahli PAS.

“Saya sudah periksa namanya, tidak ada dalam senarai ahli PAS Petaling Jaya Selatan,” kata Yang Dipertua PAS kawasan, Ghazali Shaari.

“Orang Taman Medan ramai yang tidak mengenali beliau jarang bercampur dengan orang ramai.

“Setahu saya, Khalil jarang ke masjid atau surau. Dia membawa diri sendiri,” kata Ghazali lagi.

Menurut Ghazali, Khalil berasal dari PJS 4 tetapi telah berpindah ke Puchong sejak berusia tujuh atau lapan tahun.

Katanya, rumah asalnya itu kini didiami oleh adik lelakinya.

“Kalau tidak salah ingatan saya, ibu Khalil telah meninggal dunia,” tambah Ghazali.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Ghazali  memberitahu, tidak ada kumpulan ajaran sesat di Taman Medan.

Bagaimanapun, katanya berdasarkan maklumat yang diperolehi dari penduduk setempat ada guru yang mengajar agama secara sembunyi di rumah pengikut kumpulan itu.

“Tetapi pengaruhnya tidak besar. Saya tidak tahu sama ada Khalil terbabit dengan kumpulan tersebut.

“Yang saya tahu beliau jarang datang ke masjid,” kata Ghazali yang juga Pengerusi Masjid Nurul Ehsan, Taman Medan.

Tiada ulasan: