Isnin, 16 Julai 2012

Kes Scorpene: Sepina akan diserah oleh Kedutaan Perancis

Oleh Sidiqin Omar




KUALA LUMPUR : Sepina kepada saksi pertama kes rasuah pembelian kapal selam Scorpene oleh Malaysia, Jasbir Singh Chahl akan dihantar melalui Kedutaan Perancis, kata Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel.

“Mahkamah (Perancis) tidak akan gunakan khidmat kurier. Mereka akan sampaikan secara langsung, supaya saksi ‘acknowledge’ (mengesah terima) arahan tersebut,” katanya kepada Keadilan Daily.

Cara demikian kata Cynthia, merupakan jalan terbaik dan berharap kerajaan Malaysia memberi kerjasama dan laluan kepada siasatan.

Siasatan kes bersambung semula sebaik salah seorang dari dua hakim penyiasat kembali bertugas selepas bercuti dua minggu.

“Kita difahamkan, sekarang ini, pasukan penyiasat dalam perbincangan untuk memanggil saksi-saksi lain dari Malaysia. Bila masanya? Akan ditentukan kemudian. Yang penting, panggil saksi pertama dulu,” katanya.

Menurut Cynthia, Hakim Penyiasat, Roger Le Roire dan Serge Tounaire kini sedang meneliti jaringan dan transaksi kewangan Terasasi, syarikat milik Abdul Razak Baginda di Hong Kong.

“Yang pasti Razak Baginda akan disepina kerana dia pemilik Terasasi,” jelasnya.

Peguam Suaram, Joseph Breham pada sidang media di Bangkok 31 Mei lalu mendedahkan, Terasasi menerima Euro 36 juta (RM144 juta) daripada syarikat pertahanan, Thales International yang berpusat di Perancis, dikenali sebagai Thint Asia.

‘Urusniaga’ itu ialah penjualan dokumen yang sangat sulit – penilaian Tentera Laut Diraja Malaysia terhadap kapal selam Scorpene, kononnya untuk kerja-kerja ‘kejuruteraan komersial’.

Jumaat lalu, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli mendedahkan, syarikat Thales yang dikaitkan dengan rasuah dalam urusniaga Scorpene, terbabit dalam gabungan syarikat Konsortium George Kent-Wijet-Thales yang dianugerahkan projek tambahan LRT Ampang bernilai RM1 bilion.

Tiada ulasan: