Selasa, 3 Julai 2012

Kes liwat Anwar: Mahkamah tidak boleh yakin sepenuhnya sampel DNA

SINAR HARIAN

Kes liwat Anwar: Mahkamah tidak boleh yakin sepenuhnya sampel DNA
Kes liwat Anwar
 
 
KUALA LUMPUR - Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam penghakiman bertulis perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapati bahawa mahkamah tidak boleh yakin sepenuhnya berhubung integriti sampel-sampel yang diambil untuk ujian DNA daripada pengadu (Mohd Saiful Bukhari Azlan).
  
Beliau berkata sampel-sampel itu mungkin boleh terjejas sebelum ia sampai di Jabatan Kimia untuk dianalisis.
  
Beliau berkata adalah tidak selamat bagi mahkamah untuk bergantung atas keputusan DNA yang diperoleh oleh ahli kimia, Dr Seah Lee Hong daripada analisis yang dijalankan ke atas sampel-sampel itu.

"Jika itu kesnya, tidak ada keterangan untuk menyokong keterangan Mohd Saiful mengenai ada berlaku penetrasi," katanya dalam penghakiman setebal 80 halaman yang dikeluarkan kepada media hari ini.
  
Hakim Mohd Zabidin berkata mahkamah hanya ada keterangan Mohd Saiful untuk membuktikan penetrasi.
   
"Ini adalah satu kesalahan seksual, ia adalah undang-undang lapuk yang mahkamah sentiasa enggan untuk mensabitkan orang yang dituduh semata-mata atas keterangan pengadu (Mohd Saiful) yang tidak disokong. Oleh itu, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan," katanya.
   
Pada 9 Januari lepas, Hakim Mohamad Zabidin membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.
  
Anwar, 64, yang juga pemimpin pembangkang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
  
Hakim Mohamad Zabidin berkata selepas meneliti keterangan tiga doktor Hospital Kuala Lumpur, mahkamah mendapati ia tidak sepatutnya ada sebarang bantahan berhubung dapatan mereka mengenai "ada berlaku penetrasi" berdasarkan keterangan Dr Seah.
  
"Bagaimanapun, sama ada keterangan daripada tiga doktor ini boleh menyokong PW1 (Mohd Saiful) berhubung ada berlaku penetrasi bergantung sepenuhnya terhadap sama ada dapatan dan laporan PW5 (Dr Seah) boleh dipercayai atau tidak. Ini juga banyak bergantung kepada integriti sampel berkenaan," katanya.
  
Tiga doktor dari HKL itu ialah Dr Khairul Nizam Hassan, Dr Siew Sheue Feng dan Dr Mohd Razali Ibrahim yang memeriksa Mohd Saiful, pada 28 Jun, 2008, dua hari sebelum insiden yang didakwa liwat itu.
 
Dalam penghakimannya, Hakim Mohd Zabidin juga berkata satu ramuan yang kritikal perlu dibuktikan terhadap pertuduhan itu adalah berlakunya penetrasi.
  
Beliau berkata pihak pendakwaan bergantung sepenuhnya atas keterangan Dr Seah untuk menyokong keterangan Mohd Saiful mengenai ada berlaku penetrasi.
  
Mengenai isu air mani yang dijumpai atas calitan rektal pengadu, Hakim Mohd Zabidin berkata Dr Seah hanya memberikan keterangan lisan semata-mata mengenai apa yang didakwanya tanpa sebarang keterangan fotografik.
  
Kedua-dua pakar DNA yang dipanggil oleh pasukan pembelaan, Dr David Wells dan Dr Brian Mc Donald mempertikai dapatan Dr Seah dimana mereka memberi keterangan seseorang mendapati sukar dalam mengumpul apa-apa nilai spesimen daripada DNA yang boleh diperoleh melepasi 36 jam selepas dakwaan serangan seksual.
  
Kedua-dua pakar itu juga mempertikai saksi pendakwan mengenai dapatan air mani "lelaki Y" dalam dubur Mohd Saiful memandangkan sampel itu tidak dikendali dengan sewajarnya.
 
Hakim Mohd Zabidin berkata walaupun ketiga-tiga doktor dari HKL, yang mengumpul sampel daripada Mohd Saiful, juga berpendapat berlakunya penembusan zakar berdasarkan pendapat mereka dalam isu ini atas keterangan Dr Seah yang berkata beliau mendapati air mani yang beliau panggil "lelaki Y" dalam sampel-sampel yang diambil daripada rektal atas dan bawah Mohd Saiful.
  
"Milik siapa "lelaki Y" ini, pihak pendakwaan bergantung atas keterangan PW6 (ahli kimia, Nor Aidora Saedon) yang mendapati profil DNA yang diperoleh daripada sampel-sampel yang ditemui daripada sel di mana Anwar ditahan semalaman untuk memadankan dengan DNA yang dijumpai oleh PW5 (Dr Seah) yang diambil daripada bahagian atas dan bawah rektal Mohd Saiful," katanya.
  
Beliau berkata adalah jelas, sokongan mengenai ada berlaku penetrasi daripada semua saksi bergantung kepada dapatan Dr Seah mengenai analisis yang beliau lakukan ke atas rektal atas dan bawah Mohd Saiful.
  
Hakim berkata, adalah penting pada penutup kes pembelaan untuk menilai semula keseluruhan keterangan berkaitan dengan pengumpulan, pengendalian, menganalisis sampel-sampel yang diambil daripada Mohd Saiful.
  
Hakim itu juga menyentuh testimoni pegawai penyiasat DSP Blacious Judy Pereira yang mengaku bahawa beliau menyimpan sampel-sampel yang diambil daripada Mohd Saiful dalam biliknya walapun Dr Siew memberitahu beliau supaya menyimpannya dalam sebuah peti ais.
 
Tambahan pula, beliau berkata DSP Judy dalam keterangannya berkata beliau membuka beg plastik yang diserahkan kepadanya oleh Dr Siew dan beliau mendakwa ia dilakukan secara peribadi bagi pelabelan semula bekas itu.
  
"Pada pandangan saya ini tidak perlu memandangkan bekas itu sudahpun dibungkus dan dilabel oleh pakar-pakar yang mengumpulnya," kata Hakim Mohd Zabidin.
  
Katanya beliau juga mengambil kira keterangan kedua-dua pakar DNA yang dipanggil oleh pihak pembelaan, Dr David Wells di mana beliau membuat kesimpulan bahawa bekas-bekas itu boleh diusik di mana cop mohornya boleh ditanggalkan atau dipaterikan semula.
  
"Dengan membuka bekas itu, keyakinan dalam integriti sampel-sampel itu telah hilang," katanya.
  
Hakim Mohamad Zabidin juga berkata beliau mengambil kira testimoni seorang lagi pakar pembelaan Dr Thomas Hoogland yang memberi keterangan bahawa berikutan kecederaan yang dialami Anwar, pakar itu berpendapat ia adalah sangat tidak mungkin bagi tertuduh untuk dapat melakukan liwat melalui cara yang diterangkan oleh pengadu.

Hakim Mohamad Zabidin berkata apabila memanggil Anwar untuk membela diri atas pertuduhan di akhir kes pendakwaan, tidak ada pertikaian bahawa Anwar adalah orang yang mengarahkan Mohd Saiful untuk pergi ke kondominium itu pada kira-kira pukul 2.15 petang, 26 Jun, 2008.
  
Beliau berkata, imej Mohd Saiful menaiki lif ke salah satu unit kondominium dirakamkan oleh sistem CCTV kondominium itu.
  
Beliau juga berkata seseorang yang menyerupai tertuduh dilihat menaiki lif dan dirakamkan oleh sistem CCTV, mengesahkan kehadiran tertuduh berdekatan dengan tempat kejadian jenayah semasa tempoh yang disebut dalam pertuduhan.
  
Hakim itu berkata keterangan sokongan mengenai apa yang terjadi antara Anwar dan Mohd Saiful dalam unit di kondominium itu boleh didapati dalam sejarah perubatan insiden itu seperti yang diberitahu oleh Mohd Saiful.
  
Beliau juga berkata Dr Siew dalam keterangannya juga berkata beliau dimaklumkan oleh Mohd Saiful bahawa beliau (Mohd Saiful) diliwat oleh seorang tokoh masyarakat berprofil tinggi. - Bernama

Tiada ulasan: