Jumaat, 6 Julai 2012

Kerajaan negeri tidak bayar RM1 billion kepada Talam, jelas Pua

TERKINI
 
 

KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Petaling Jaya  Utara (PJU), Tony Pua menerangkan bahawa kerajaan Selangor tidak membayar sebanyak RM 1 billion kepada Talam Corporation seperti didakwa oleh Datuk Chua Tee Yong.

Menurutnya, kerajaan negeri telah menerima bayaran sebanyak RM12.7 juta dari Talam pada 12 Mac 2010 dalam bentuk tunai, kemudian Talam menyerahkan aset kepada syarikat milik kerajaan negeri, Menteri Besar Incorporated (MBI) yang berjumlah RM 676 juta, yang mempunyai hutang tertunggak sebanyak RM266.2 juta dan RM30.5 juta dalam kos tambahan.

“Kami membayar hutang dari cawangan syarikat MBI, iaitu Universiti Selangor (Unisel), Kumpulan Hartanah Selangor dan Permodalan Negeri Selangor, bukannya Talam,” kata Setiausaha Publisiti DAP itu dalam sidang media pagi ini.

Menurut Pua (gambar) lagi, Talam tidak menerima satu sen pun dari kerajaan negeri, bahkan Selangor memaksa Talam untuk membayar hutang lama dari kerajaan negeri yang terdahulu  berjumlah RM392 juta.

Talam berhutang dengan Unisel sebanyak RM 255 juta, Hartanah Selangor RM 115 juta dan Permodalan Negeri Selangor RM 22 juta.

Kerajaan negeri pada tahun 2008 telah menubuhkan MBI dan menyatukan semua syarikat tersebut di bawah MBI — menjadikan semua syarikat ini sebagai anak syarikat MBI.

“Kerajaan negeri telah memaksa Talam untuk membayar hutang tertunggaknya setelah tidak membayarnya semasa Selangor di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Jadi bagaimana Datuk Chua Tee Yong boleh berkata yang kerajaan negeri menggunakan wang rakyat untuk membayar hutang-hutang Talam sedangkan Talam yang berhutang dengan kerajaan negeri?” katanya lagi.

Tony Pua menjelaskan bahawa aset-aset dari Talam yang diserahkan kepada kerajaan negeri adalah untuk menyelesaikan baki hutang selepas bayaran pertama yang berjumlah RM 12.7 juta dibuat.

Bayaran kedua dibayar melalui penyerahan aset berjumlah RM 44.7 juta dan aset ini adalah aset yang bebas dari hutang.

Tony Pua membidas kenyataan Chua yang mengatakan bahawa kerajaan negeri menggunakan wang rakyat yang berjumlah RM 1 billion untuk membayar hutang-hutang Talam.

Selasa lalu, Ketua Biro Profesional Muda MCA Chua meminta kerajaan negeri untuk menerangkan kenapa RM 1 billion digunakan untuk membayar hutang Talam kepada tiga syarikat terbabit.

“Jelas sekali Chua tidak menyemak angka-angka ini dengan betul hingga melakukan kesilapan sebegini,” kata Ahli Parlimen PJU itu.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

Gobind berkata MCA kini sudah semakin terdesak untuk mendapatkan undi dan ini bukan kali pertama parti komponen BN itu melakukan perkara sedemikian.

“Serangan sebegini juga dilakukan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan jelas sekali mereka semakin terdesak untuk mendapatkan undi”, kata Gobind merujuk kepada dakwaan terhadap Setiausaha Agung DAP itu.

Tiada ulasan: