Jumaat, 20 Julai 2012

Keputusan Umno Selangor saman RM10 juta ditangguh

Muhammad Faizal,
SHAH ALAM: Keputusan kes Umno Selangor saman RM10 juta terhadap pemimpin PAS berhubung penerbitan satu artikel dalam akhbar Harakah yang didakwa memfitnah parti itu telah ditangguh kepada tarikh lain.

Mahkamah Tinggi Shah Alam yang sebelum ini menetapkan hari ini (20 Julai) sebagai keputusan setelah Hakim Datuk Ahmad Zaki Husin mendengar hujah pihak pendakwa dan pembela pada 15 Jun yang lalu.

Plantif iaitu Setiausaha Pehubungan Umno Negeri Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed menamakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar atas), pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd, penyunting akhbar tersebut Ahmad Lutfi Othman dan wartawannya, Khairul Azlam Mohamad sebagai defendan.

Sementara itu, peguam Zulhazmi Shariff ketika dihubungi memberitahu bahawa tarikh bagi mendengar keputusan tersebut belum ditetapkan lagi.

"Keputusan bagi kes saman Umno terhadap PAS yang dijadualkan hari ini telah ditunda.

"Namun pada itu pihak kami belum mendapat maklum balas dari mahkamah berhubung tarikh terbaru bagi mendengar keputusan tersebut," jelasnya kepada Harakahdaily.

Pada sesi mendengar hujahan yang lepas, peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Mustafa dalam hujahannya menegaskan Mustafa tidak menyebut Umno Selangor dalam artikel mengenai dakwaan wujudnya elemen dan peranan Umno dalam serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos tahun lepas.

Turut membuat hujahan pada sesi tersebut ialah peguam yang mewakili defendan-defendan lain iaitu peguam Asmuni Awi, Zulhazmi Shariff dan Dr Dzulkarnain Lukman

Manakala plantif pula diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Tiada ulasan: